Kempen Sejuta Tandatangan untuk Palestin

Persatuan Setiakawan Dan Persahabatan Malaysia-Palestin (PSPMP) akan menjayakan Kempen Sejuta Tandatangan untuk mengutuk keganasan dan kezaliman rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Timbalan Pengerusinya, Syed Hassan Shahab berkata, untuk tujuan itu, pihaknya memerlukan sukarelawan untuk menggerakkan kempen tersebut.

''Rakyat Malaysia seharusnya melahirkan kemarahan melalui cara lebih bermakna dengan menurunkan tandatangan sebagai mendokumenkan kesungguhan dan keprihatinan mereka dalam isu Palestin.

''Orang ramai yang berniat menawarkan diri sebagai sukarelawan kempen ini boleh menghubungi Koordinator Kempen melalui nombor 018-3988553 atau e-mel mypalestine@gmail.com,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, tandatangan yang dikumpul itu akan diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat bagi mengutuk keganasan dan kezaliman Israel ke atas rakyat dan bumi Palestin.

''Ia juga bertujuan mendesak kerajaan Amerika menggunakan kuasanya untuk menghentikan keganasan rejim Israel itu,'' katanya.

Tambahnya, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian serta bencikan keganasan, mereka harus lebih komited dalam memperjuangkan isu Palestin.

''Kami menyeru rakyat negara ini yang berbilang kaum dan lapisan masyarakat, yang berani dan bermaruah turut serta menyokong usaha kempen yang bermakna ini,'' ujarnya.

Mereka yang ingin mendapat maklumat tentang kempen itu boleh menghubungi PSPMP melalui e-mel sahabatpalestine@gmail.com
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url