Perasmian Hotel Felda Residence Kuala Terengganu


Kerajaan melaksanakan pelbagai program kemahiran tinggi bagi membantu generasi kedua Felda menjadi penggerak kepada pelbagai projek yang akan dilaksanakan agensi itu pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peluang tersebut juga diberikan kepada golongan berkenaan bagi mengelakkan mereka menjadi beban kepada keluarga.

Beliau berkata, sejarah membuktikan kemampuan Felda membawa perubahan corak hidup kepada peneroka dan negara amnya.

"Inilah jasa yang dicurah kerajaan dan ia tidak terhenti setakat generasi pertama sahaja. Pada saya, tak lengkap kalau anak- anak tidak diberi peluang dapatkan pendidikan kerana mereka nanti akan jadi beban kepada keluarga,'' katanya berucap merasmikan Hotel Felda Residence Kuala Terengganu di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Najib berkata, Felda kini merancang untuk membuka ladang di luar negara serta sebuah kilang kejuruteraan di Boston, Amerika Syarikat (AS).

Dalam konteks ini kata beliau, kerajaan berharap generasi kedua Felda dapat mengendalikan projek tersebut dengan jayanya satu hari nanti.

"Bayangkan, pesawat Airbus 380 yang akan diterima oleh Penerbangan Malaysia (MAS) dalam tempoh dua tahun lagi akan dibaik pulih dan disenggara oleh anak- anak peneroka yang telah mengikuti kursus kejuruteraan penyelenggaraan pesawat,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, Felda membelanjakan RM27 juta untuk pembinaan Felda Residence Kuala Terengganu setinggi 20 tingkat yang siap dibina Jun tahun lepas.

Katanya, setakat ini, Felda telah membelanjakan sebanyak RM718 juta untuk membantu membangunkan Terengganu.

Timbalan Perdana Menteri yakin Hotel Felda Residence yang tersergam di lokasi strategik di bandar raya ini, mampu memberikan kepuasan kepada pengunjungnya melalui pengurusan yang profesional.

Diuruskan oleh Felda Plantation Resorts Sdn. Bhd., hotel itu merupakan satu lagi mercu tanda kejayaan Felda.

Hotel di Jalan Hiliran itu terletak di pesisiran muara sungai serta berhadapan dengan Taman Tamadun Islam dan Pulau Duyong.

Berkonsepkan kontemporari, hotel yang mula beroperasi sejak 4 Julai tahun lepas, menyediakan bilik penginapan jenis deluxe, premier deluxe, executive suite berjumlah 100 bilik.

Ia turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti bilik mesyuarat dan bilik seminar.

- Utusan
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Ahad, 15 Mac 2009 pada 3:56:00 PTG SGT

    Agak2 kadar sewa di hotel Felda kat KT utk pesara Felda dapat berapa % discount??? Dulu sebelum dibina ,chairman kata ada special "rate" utk pesara Felda??

Add Comment
comment url