PAS sudah ketandusan isu (PRK Kuala Terengganu)

Pas sudah ketandusan isu apabila membangkitkan soal royalti minyak sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang kini memasuki hari ketujuh.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, Pas terus mengungkit isu berkenaan walaupun kerajaan negeri telah berjaya mengembalikan wang royalti minyak ke pangkuan rakyat Terengganu.

Lebih mendukacitakan jelasnya, parti itu kini menukar rentak dan haluan apabila memburuk-burukkan peribadi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta pemimpin kerajaan dalam kempen mereka.

''Apa perlunya mereka ungkit soal royalti minyak sedangkan kita telah berjaya mengembalikannya semula kepada rakyat. Kita agih pembahagian royalti secara adil tetapi mereka kata kita tidak adil.

''Inilah Pas yang menagih simpati rakyat. Walaupun dalam siri ceramah mereka nampak ada isu, apa yang dibangkitkan adalah isu yang telah selesai dan mereka juga memburukkan peribadi orang lain," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata demikian selepas Majlis Memperkasakan Kecemerlangan Pendidik Terengganu dan Pelancaran e-Book di kediaman rasminya, Seri Iman di sini hari ini.

Menurut Ahmad, beliau tidak hairan dengan sikap Pas itu kerana ia menggambarkan pendirian tidak tetap mereka berhubung isu-isu berkenaan.

Beliau yakin walau apa pun yang Pas lakukan, rakyat pasti akan menolak mereka dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url