Peluang lebih daripada 50-50 (PRK Kuala Terengganu)

Dengan tinggal empat hari lagi menjelang tarikh pengundian, Pas menjangkakan peluangnya untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu melebihi daripada 50-50.

Pengarah Jentera Pas Bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong berkata, ini didorong dengan pelbagai isu yang masih tidak dapat dipatahkan oleh Barisan Nasional (BN).

‘‘Ramalan ni semua buat, polis buat, tentera buat, semua buat. Tapi saya sendiri selaku Pengarah Pilihan Raya jangkaan saya peluang kita lebih sikit daripada 50-50.

‘‘Cuma kebimbangan saya satu perkara sahaja iaitu kehadiran polis yang begitu ramai boleh menakutkan orang ramai di samping menggalakkan ‘hantu-hantu’ keluar dengan perlindungan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar harian pimpinan Pas di Markas Tarbiyah Pas Kawasan Kuala Terengganu di Kuala Ibai di sini hari ini.

Para pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu akan membuang undi pada Sabtu ini bagi memilih Ahli Parlimen yang baru setelah ia kosong berikutan kematian Allahyarham Datuk Razali Ismail.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url