Pengundi Atas Pagar 'Lubuk' Undi Simpati (PRK Kuala Terengganu)

"Mana dia, mana dia? Tu ho (Itu dia). Macang dalang TV ek. Memang smart orangnya," kedengaran satu suara daripada sekumpulan wanita yang berdiri di tepi jalan yang membalas lambaian Datuk Seri Najib Tun Razak, di sebuah kampung di sini baru-baru ini.

Perbualan mengenai kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan rombongannya menunaikan solat Jumaat dan jamuan rakyat di Kampung Gong Tok Nasek itu terus kedengaran sekalipun kelibat kenderaan yang membawa pemimpin No. 2 negara itu telah lama hilang dari pandangan.

"Sekali-sekala tengok orang besor (pemimpin) turung, kita pong nok tengok jugok. Selama ni dok tengok dalang (dalam) TV je," kata salah seorang daripada wanita itu ketika dihampiri Bernama.

Wanita berusia 40-an itu jelas teruja dapat melihat pemimpin negara tersebut yang disifatkannya sebagai 'tidak kekok makan bersama orang kampung'.

"Ramoh (ramah) dok (tak) macang setengoh-setengoh tu, nampok dok berapa selesa duduk tengah panah (panas) macang ni. Eh, ni nok masuk dalang surat kabor ke?," katanya apabila melihat penulis mengeluarkan buku nota.

Tersenyum, beliau yang hanya mahu dipanggil Kak Gayah berkata memang seronok melihat begitu ramai pemimpin baik daripada kerajaan mahupun pembangkang melawat kampungnya.

"Macang biasa lah, ada hok ramoh macang Datuk Najib tu, ada jugok ja'lang (berjalan) dok (tak) tengok orang, senyung macang (macam) takmboh (tak nak) senyung," katanya.

Namun ketika ditanya siapa yang akan diundinya pada hari pemilihan 17 Jan ini, ibu kepada lima anak yang sebelum itu galak bercerita mengenai pemimpin politik yang pernah dilihat secara dekat hanya menjawab: "Tengok la macang mana."

Kak Gayah adalah seorang daripada 80,229 pengundi bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, dan jika dinilai daripada jawapannya itu beliau mungkin termasuk dalam golongan 'pengundi atas pagar', yang merangkumi lebih 20 peratus daripada jumlah pengundi.

Selain pengundi Cina, ramai pemerhati politik berpendapat golongan ini akan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon dan mampu membuat kejutan.

"Biasanya golongan ini memberi undi simpati dan lazim berlaku pada saat-saat akhir," kata Prof. Dr Ahmad Atory Hussain, pensyarah Dasar Awam dan Politik Malaysia di Universiti Sains Malaysia.

Justeru kata pemerhati politik itu, parti-parti yang bertanding perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan suasana masyarakat setempat untuk memikat pengundi 'atas pagar' ini.

"Pada saya caranya mudah saja sebab kita orang Melayu ni adalah masyarakat feudal dan bila ada yang datang merayu berulang kali, mereka akan berasa kasihan. Yang penting kena ada sikap merendah diri," katanya.

Ini kerana katanya, pengundi atas pagar lebih mementingkan karektor calon berbanding parti, selain lebih cenderung menggunakan pendekatan `mencuba' dalam membuat pilihan mereka.

"Faktor calon ini penting. Kalau mereka tak suka calon itu mereka tak akan peduli," katanya.

Pandangan Ahmad Atory itu turut dicerminkan oleh seorang pemerhati tempatan yang berkata pengundi atas pagar khususnya di Terengganu tidak memikirkan kesan jangka panjang, sebaliknya lebih gemar mengikut arus.

"Kalau dia rasa ramai yang akan undi calon A, maka dia akan undi calon A dan begitulah seterusnya. Selain itu golongan ini juga mudah termakan rayuan, kalau calon dan yang berkempen pandai mengambil hati mereka, maka mereka akan sokong calon tersebut.

"Ramai juga antara mereka ini yang tak keluar mengundi ataupun sengaja merosakkan undi jika mereka rasa mereka tak akan dapat apa-apa daripada calon yang bertanding. Jadi memang sukar untuk jangka pilihan mereka," katanya yang mahu identitinya dirahsiakan.

Kata-kata beliau itu mungkin ada kebenarannya memandangkan sejak tahun 1980an, kerusi Parlimen itu pernah disandang oleh Barisan Nasional (BN), Semangat 46 dan PAS, sebelum kembali ke tangan BN pada tahun 2004 dan dipertahankan pada pilihan raya umum tahun lalu.

Pada pilihan raya umum 2004, calon BN (Allahyarham) Datuk Razali Ismail yang baru pertama kali bertanding menewaskan penyandang ketika itu Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS) dengan majoriti 1,933 undi.

Pada 8 Mac lalu, Razali mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis 628 undi selepas memperolehi 32,562 undi menewaskan calon PAS Mohamed Sabu (31,934) dan calon Bebas Maimun Yusof (689 undi).

Selepas lima hari kempen berlangsung pemerhati politik masih berpegang pada pendapat bahawa kerusi Parlimen Kuala Terengganu hanya akan dimenangi dengan majoriti tipis.

"Memang pemilihan ini sengit dan kita tak boleh nak duga sebab apabila berdepan dengan pengundi atas pagar, macam-macam boleh berlaku bergantung kepada kebijaksanaan calon yang bertanding dan jentera kempen," kata Ahmad Atory yang tidak menolak BN mempunyai sedikit kelebihan.

"Saya katakan kelebihan kerana orang mungkin menimbangkan jasa (penyandang) Allahyarham Datuk Razali, dan mungkin juga pengundi atas pagar ini tertarik dan bersimpati dengan kesungguhan Najib berkempen," katanya.

Jika dilihat sambutan yang diberi masyarakat setempat pada majlis-majlis yang dihadiri Najib, jelas orang ramai 'berminat' untuk melihat lebih dekat Timbalan Perdana Menteri itu, namun persoalan sama ada ia dapat diterjemahkan dalam bentuk undi hanya akan terjawab pada Sabtu ini.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url