Peniaga jangan naik harga sepanjang pilihan raya (PRK Kuala Terengganu)

Peniaga di kawasan Parlimen Kuala Terengganu diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan mereka sepanjang proses pilihan raya kecil kawasan itu berlangsung.

"Dari segi yang mengambil peluang dengan kehadiran yang ramai, itu saya rasa lumrah bagi peniaga, tapi kalau boleh terutamanya bagi makanan popular seperti keropok lekor dan nasi dagang dikekalkan pada harga biasa dan jangan naikkan harga," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak menerima sebarang rungutan daripada pengguna mengenai kenaikan harga barangan atau perkhidmatan di kawasan itu.

Shahrir berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen penurunan harga di Restoran Sri Wangsa, Pengadang Baru di sini, Ahad.

Sebanyak 73 buah restoran yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Tomyam Terengganu (Pertom) yang mengambil bahagian dalam kempen selama sebulan, bermula hari ini, menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus bagi makanan dan minuman kepada para pelanggan.

Shahrir juga menggesa lebih ramai pengusaha restoran serta perkhidmatan di seluruh negara mengikuti kempen penurunan harga yang kini sedang giat dijalankan kementeriannya.

"Walaupun ada pihak yang cuba mainkan isu harga barang ini tapi saya tak nampak ia satu isu besar. Kalau ada pun (kenaikan harga) sebenarnya disebabkan kekurangan bekalan, kerana ada banyak barang yang tak boleh dibekalkan secara tempatan seperti ikan yang datang dari luar Terengganu berikutan sekarang musim tengkujuh.

Mengenai dakwaan terdapat hotel di sini mengenakan kadar sewa bilik yang tinggi sehingga mencecah RM1,000 berikutan pilihan raya kecil itu, Shahrir berkata ia tidak akan menjejaskan industri pelancongan negeri Terengganu.

"Saya akui ada mereka yang mengambil peluang (menaikkan harga). Ini semua tak boleh dikawal, permintaannya yang luar biasa yang menjadikan harga hotel mahal.

"Tapi saya rasa lepas ni akan turun balik, jadi tak ada masalah lah. Musim ini pun bukan musim pelancong datang jadi kenaikan harga ini pun takkan menjejas pelancong yang datang," katanya.

- mstar
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url