Melaka sasar 7.4 juta pelancong tahun 2009

Kerajaan negeri menyasarkan kedatangan pelancong seramai 7.4 juta orang pada tahun ini berbanding 6.8 juta pelancong tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Seet Har Cheow berkata, kerajaan juga yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pencapaian hampir tujuh juta pelancong yang dicatatkan pada tahun lalu.

"Pada 2008, kita sasarkan 6.8 juta pelancong akan datang ke Melaka dan nampaknya kita berjaya melepasi sasaran itu apabila sehingga Disember lalu, ia mencatatkan kedatangan pelancong hampir 6.9 juta orang.

"Kedatangan pelancong paling ketara ialah pada Disember lalu iaitu lebih sejuta orang dan ditambah dengan 5.8 juta orang lagi bermula sejak Januari hingga November," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, antara lokasi pelancongan yang sering menjadi tumpuan pelancong ialah Eye On Malaysia, Melaka River Cruise, dan Menara Taming Sari.

"Ketiga-tiga tarikan ini merupakan produk terbaru kita dan nampaknya pelancong sentiasa mahu melihat dan mencuba apa saja produk pelancongan baru yang kita ada.

"Saya percaya dengan beberapa lagi produk terbaru seperti skrin air cahaya dan bunyi terbesar di dunia dan dewan pameran ruang angkasa di lokasi Eye On Malaysia, dijangka lebih ramai pelancong akan berkunjung ke Melaka tahun ini," katanya.

Beliau berkata, produk terbaru yang dalam perancangan kerajaan negeri untuk dilaksanakan ialah pembinaan kereta kabel yang akan menghubungkan Eye On Malaysia, Pulau Melaka dan Menara Taming Sari.

Apabila siap kelak pembinaan kereta kabel itu, Har Cheow berkata, kedatangan pelancong ke negeri itu dijangka bertambah.

Sehubungan itu, beliau juga berharap kepada semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dapat memainkan peranan masing-masing untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai.

"Bukan saja bergantung pada usaha kerajaan semata-mata tetapi peranan pihak-pihak swasta juga boleh sama membantu mengadakan pelbagai promosi untuk menarik pelancong.

"Orang ramai terutamanya penduduk di negeri ini juga perlu sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong di samping mempromosikan Melaka secara lisan kepada rakan dan kenalan mereka," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url