Pertahankan dasar kemelayuan, keislaman

Dasar pembentukan Malaysia yang berteraskan kemelayuan dan keislaman perlu dipertahankan bagi memastikan rakyat negara ini mencapai kemajuan mengikut acuannya sendiri.

Sehubungan itu, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang merupakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan mempertingkatkan usaha membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat mengenai kepentingan dasar berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, gabungan NGO Islam itu akan mengadakan majlis penerangan dan rapat umum di seluruh negara untuk menjelaskan isu berkenaan demi masa depan negara.

''Adalah jelas kemunculan negara kita berteraskan kemelayuan dan keislaman. Hak-hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi adalah kerangka kepada kemelayuan dan keislaman.

''Inilah acuan non sekular bagi negara ini sekali gus tidak pula menjadi negara teokrasi sebagaimana negara teokrasi dalam sejarah peradaban Barat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Kebangsaan MAIM 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan muktamar sehari yang bertema Bersatu Membela Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 peserta yang mewakili NGO Islam di seluruh negara itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd. Nakhaie yang juga Yang Dipertua Yadim berkata, teras kemelayuan dan keislaman dicatatkan dengan jelas dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan sekali gus membolehkan ia menjadi acuan kepada pembentukan masa depan negara.

''Malaysia adalah negara yang mempunyai sejarah dan ketamadunannya yang tersendiri dan kita telah membuat pilihan, kita ingin membina kemajuan dan tamadun mengikut acuan kita sendiri.

''Jika sesiapa yang tidak suka dengan acuan ini dan lebih menyukai cara Amerika Syarikat (AS) atau England, China atau India jadi pergilah ke sana dan jadilah imigran di sana," tegasnya.

Dalam hal ini beliau berkata, kekuatan ketiga iaitu masyarakat sivil atau hadhari amat penting bagi menjadi pelengkap kepada arus kekuatan sedia ada termasuk struktur kepimpinan negara.

Ini kerana, kata beliau, masyarakat Islam tidak mampu untuk hanya bergantung harapan kepada parti-parti politik dalam menentukan kedudukan masa depannya.

''Kekuatan masyarakat hadhari menjadi pelengkap kepada kekuatan-kekuatan yang sedia ada supaya kepimpinan umat membawa keadilan dan kedaulatan sejati.

''Kelemahan sahsiah kepimpinan dan sistemnya akan ditampung dengan kekuatan masyarakat sivil, yang bertindak bijaksana dan menjalankan tanggungjawab al-dinun nasihah iaitu nasihat yang baik, beradab dan bersopan untuk mencari jalan-jalan serta kaedah terbaik memelihara agama, bangsa dan negara," katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url