Pusat Sehenti ECER ditubuh


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan penubuhan Pusat Sehenti Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi memudahkan pelabur mendapat maklumat dan membuat permohonan untuk melabur di wilayah tersebut.

Perdana Menteri berkata, pusat sehenti itu akan melicinkan sektor pelaburan dan pembangunan ECER.

''Saya berharap dengan adanya pusat sehenti itu nanti, para pelabur tidak lagi perlu pergi ke Perbendaharaan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Putrajaya dan lain-lain tempat untuk mendapatkan maklumat dan membuat permohonan.

''Pusat sehenti itu akan ditubuhkan di Kuala Lumpur dan di negeri-negeri yang terbabit dalam ECER iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Pembangunan ECER di Wisma Bentong di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yaacob.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Ahli Majlis ECER, Tan Sri Hassan Marican dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John.

Pada sidang akhbar itu, Abdullah turut mengumumkan pelantikan jawatan seorang pegawai yang akan ditempatkan di pusat tersebut dengan diberikan kuasa untuk meluluskan permohonan pelabur.

Tambah beliau, dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ECER mengenal pasti pelaburan bernilai RM2.6 bilion membabitkan 107 projek.

''Sebanyak 29 projek daripada 48 projek yang dikenal pasti sejak tahun 2008 akan dilaksanakan pertengahan tahun ini dan bakinya akan dimulakan pada penghujung tahun ini manakala lapan projek lagi akan bermula awal tahun depan.

''Saya berpuas hati dengan perkembangan dan perjalanan ECER kerana mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri termasuk Kelantan yang diperintah oleh Pas," kata beliau.

Ditanya sama projek ECER terjejas ketika berlaku krisis kewangan global pada masa ini, jelas beliau, semua projek koridor itu berjalan lancar dan tidak akan dihentikan walaupun situasi ekonomi dunia yang tidak menentu.

Kata Abdullah, semua projek ECER perlu diteruskan kerana ia menjadi salah satu agenda kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar kerana ia mampu memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat miskin.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin projek-projek di bawah ECER seperti agropolitan, pelancongan inap desa, projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) akan memberikan manfaat secara langsung bagi merangsang ekonomi rakyat miskin.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url