Rakyat Malaysia tidak agresif boikot produk AS, Israel?
Di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur berhampiran Kuala Lumpur City Centre semalam, Setiausaha Gabungan Badan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli hanya sekadar mampu menggelengkan kepalanya.
Di kafe-kafe makanan Barat berjenama Amerika dan Israel tetap sesak dikunjungi. Di dua restoran ayam goreng terkenal, pemandangannya juga sama. Nampaknya, kempen memboikot sama ada produk Israel atau Amerika sejak empat hari ini sebagai tindak balas kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Palestin, tidak berhasil.
''Lebih menyedihkan lagi, menerusi pemantauan anggota-anggota kami dalam kempen boikot produk Israel di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Johor Bahru ini, turut sama kelihatan di restoran dan kafe ini adalah kelibat pelancong Arab.
''Rakyat kita tidak kisah nasib rakyat Palestin, memanjang penuh restoran-restoran itu," keluh Mohd. Jurit, 38, yang melepaskan perasaannya dalam kunjungannya ke pejabat cawangan Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.
Mohd. Jurit, yang mengendalikan badan yang menaungi 150 NGO dengan keanggotaan 50,000 orang itu membawa penulis kepada pengalamannya sewaktu bertugas menyertai misi pengaman Malbatt 3 di Bosnia pada 1995/1996.
''Dalam kancah peperangan Serb-Bosnia ini, manusia hidup melarat, anak-anak menjadi yatim piatu sekelip mata berceleparan di jalanan. Saya dapat menyelami sendiri penderitaan penduduk Palestin kerana semasa bertugas di Bosnia, banyak pengalaman melihat mangsa perang melekat di kepala sampai ke hari ini.
''Acap kali penduduk Bosnia ini akan singgah di kem kami untuk bertukar-tukar barang atau dalam bahasa sana dipanggil 'poklon'. Kami tukar barang-barang perhiasan atau gambar dinding mereka dengan beberapa buku roti dan makanan," kata bekas koperal itu.
Paling menyayat hati beliau adalah apabila menemui banyak anak kecil di taman perumahan dekat Konjic dan Kosovo yang menangis kelaparan di sisi mayat ibu bapa dan anggota keluarga dewasa sambil tembakan terpapar di dada dan kepala.
''Kami yang pernah bertugas di negara-negara yang dilanda konflik peperangan ini menyelami dan faham erti penderitaan penduduk Palestin ketika ini. Tapi apabila berada di tengah-tengah Kuala Lumpur semalam, hati saya macam disiat-siat kerana kempen boikot produk Israel dan Amerika ini memang tiada kesan, terpaksalah kena fikir cara lain," katanya.
Ketika melihat situasi ambil mudah sebilangan warga kota terhadap kempen boikot produk itu, Mohd. Jurit mengandaikan mereka seolah-olah sudah 'diprogramkan' untuk tidak berasa apa-apa kesengsaraan penduduk Palestin. Kerana itu, apabila gabungan NGO beliau mengadakan demonstrasi menggesa kerajaan jangan melayan desakan pihak tertentu supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan, Mohd. Jurit pada masa sama meminta rakyat Malaysia memikirkan risiko yang bakal dihadapi jika ISA ditiadakan.
''ISA ini perlu untuk menjamin ketenteraman awam dan negara keseluruhannya. Bagi pihak yang mendesak supaya ISA dihapuskan, saya cabar mereka jangan asyik gesa tu, desak ni dalam 'aircond', salinlah pakaian mereka dengan baju tentera, kemudian ke medan perang jika suatu hari nanti ketenteraman negara tidak terjaga tanpa satu akta pencegahan seperti ISA," katanya.
Mohd. Jurit dan ahli-ahli NGO beliau tetap mengetepikan ayam goreng dalam menu anak-anak atau singgah di kafe yang menjadikan eskekutif muda 'pejabat kedua' menghirup kopi petang mereka.
Walaupun antara alasan popular diterima 'kalau aku seorang sahaja yang boikot, tak menjadi juga', Mohd. Jurit masih bertekad meneruskan pemantauan itu.