Sambutan Tahun Baru Cina di seluruh negara meriah

Sambutan Tahun Baru Cina hari ini disambut sederhana tetapi meriah di seluruh negara dengan diraikan bukan sahaja oleh masyarakat Cina, malahan turut disertai kaum lain sebagai tanda bahawa perpaduan kaum di negara ini masih utuh.

Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini tidak menghalang masyarakat Cina mengadakan rumah terbuka untuk rakan mereka daripada keturunan lain sungguhpun dalam skala yang agak sederhana.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina di Wisma MCA di sini yang dianjurkan oleh MCA selain acara serupa anjuran parti Gerakan di Menara PGRM, Cheras.

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan pemimpin kanan parti serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dan para diplomat asing turut menyerikan sambutan berkenaan yang dimeriahkan dengan persembahan tarian singa selain persembahan muzik dan pertunjukan akrobatik dari China.

Di IPOH, kedatangan Tahun Baru Cina disambut meriah dengan acara rumah terbuka antaranya oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan di Gunung Rapat di sini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, Datuk Bandar Ipoh, Roshidi Hashim dan Pengerusi MIC Perak, Datuk G.Rajoo bersama-sama 3,000 tetamu pelbagai kaum menghadiri majlis yang bermula 9.30 pagi.

Sambutan itu turut dimeriahkan dengan persembahan tarian naga oleh juara dunia iaitu kumpulan Kua Seng Keng dari Muar, Johor.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyertai kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina bersama ribuan orang ramai di sekitar kawasan Jonker Walk malam semalam untuk kiraan detik memasuki tahun lembu.

Mohd Khalil yang tiba sejurus sebelum pukul 12 tengah malam dan Mohd. Ali melakukan paluan gong Cina sekitar tapak warisan dunia (WHS) itu yang seringkali menjadi tarikan dengan karnival tahunan.

Di KEDAH, MCA Kedah tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka peringkat negeri yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 tetamu pelbagai bangsa di Dewan Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian), di sini.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan MCA Kedah, Lim Lye Huat, penasihat badan itu yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Di KUALA TERENGGANU, Tahun Baru Cina disambut meriah walaupun keadaan cuaca tidak menentu.

Kunjung mengunjungi bagi mengeratkan lagi hubungan menjadi lumrah setiap kali tiba musim perayaan. Mereka juga mengadakan upacara sembahyang untuk memohon kebahagian dan mendoakan kaum keluarga yang sudah meninggal dunia.

Di SARAWAK, sambutan Tahun Baru Cina disambut secara sederhana oleh masyarakat Cina di negeri ini dengan beberapa acara tradisi seperti rumah terbuka dan persembahan tarian singa.

Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Toh Puan Norkiah Abdullah sempat meluangkan masa untuk mengunjungi beberapa majlis rumah terbuka Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url