Sejarah - Hilang tanah akibat Darurat

Ada pihak meminta supaya dilupakan sejarah dan berikanlah perhatian pada masa depan. Dalam keadaan di mana dunia sedang menghadapi cabaran ekonomi, maka dikatakan adalah sewajarnya perhatian diberikan kepada bagaimana hendak menangani masa depan.

Tetapi tentunya pihak yang mengaut keuntungan daripada sesuatu keadaan pada masa silam akan meminta supaya sejarah dilupakan. Ini kerana mereka tidak mahu keuntungan yang diperolehnya pada masa lalu dipersoalkan. Sebaliknya perhatian mahu diberi pada masa depan supaya keuntungan baru boleh diperoleh.

Maka dapatlah difahami bahawa pihak yang mengaut keuntungan pada zaman Darurat umpamanya akan meminta supaya perkara yang lepas itu biarlah berlalu dan tidak usah diungkit. Tetapi apa pula bagi pihak yang menanggung kerugian pada masa itu? Tentunya mereka akan terus mengungkit perkara-perkara lalu kerana rasa tidak puas hati dengan sesuatu keputusan yang dibuat pada zaman berkenaan.

Sememangnya sejarah merupakan rentetan peristiwa yang berlaku pada masa lalu dan kesannya tidak akan dapat dihilangkan begitu saja. Ada keputusan atau perbuatan yang tidak adil berlaku pada masa lalu, maka ia wajar diluruskan sebelum dimaaf serta dilupakan. Tetapi selagi ia tidak dibetulkan, maka ia akan menjadi duri dalam daging yang menanah luka selagi ia tidak diperbetulkan.

Maka pelajaran daripada sejarah bermakna bukan saja berhati-hati membuat keputusan supaya tidak berlaku ketidakadilan tetapi juga membetulkan perkara-perkara lalu supaya ia tidak menimbulkan rasa marah dan dendam. Sesungguhnya sejarah merupakan satu-satunya harta bagi mereka yang dianiaya.

Dalam hal ini, apa yang berlaku semasa Darurat amat penting bagi negara ini kerana pada masa itulah berlaku banyak kesengsaraan akibat aniaya dan polisi-polisi yang salah bagi mereka yang berkuasa, iaitu penjajah British. Demi memelihara keharmonian hubungan kaum, maka umumnya perkara-perkara yang telah berlaku semasa Darurat dianggap tidak wajar untuk dibongkar dan diungkit-ungkit. Tetapi ia tetap merupakan sejarah dan fakta yang tidak akan dilupakan selagi sebarang ketidakadilan tidak dibetulkan.

Itulah yang berlaku dalam soal tanah di Perak khususnya dan Semenanjung Malaysia umumnya. Rakyat Malaysia tidak begitu mengetahui atau mengambil berat terhadap apa yang berlaku semasa Darurat kerana tumpuan perhatian adalah kepada masalah pada hari ini dan masa depan. Bagaimanapun, apabila berlaku sesuatu keputusan yang melibatkan perkara-perkara lama seperti tanah, maka sudah tentu lipatan sejarah dibuka kembali,

Jadi apabila kerajaan Perak pimpinan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan hak milik tanah kepada penduduk kampung baru Cina di negeri itu, maka ia melibatkan soal-soal lama yang memaksa semua pihak membuka kembali lipatan sejarah.

Tentulah timbul persoalan mengapakah selama ini kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) dan sebelumnya Perikatan tidak memberikan hak milik tanah kepada mereka walaupun pemastautinnya telah mendudukinya hampir 50 tahun? Apabila dibuka lembaran sejarah, maka dapatlah diketahui bahawa kampung-kampung baru Cina di banyak tempat adalah hasil daripada Rancangan Briggs yang menghimpun setinggan-setinggan Cina bagi mengatasi ancaman komunis. Untuk tujuan itu, mereka telah mengambil tanah-tanah orang Melayu. Inilah yang disebut oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah betapa Mesyuarat Raja-raja Melayu pada 24 Mei 1950 menentang Rancangan Briggs kerana penjajah British telah mengambil tanah Melayu untuk dijadikan kampung baru Cina.

Rujukan

Hakikat ini dititahkan oleh baginda ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di Kuala Lumpur Khamis lalu. Hakikat ini tidak begitu diketahui umum jika tidak timbul kes tanah ini. Isu ini menunjukkan betapa pentingnya sejarah menjadi rujukan ketika seseorang ahli politik membuat keputusan. Apabila silap dan tergesa-gesa maka padahnya akan menjadi parah kepada negara.

Sebab itulah rakyat negara ini tidak boleh melupakan sejarah dengan begitu saja kerana ia seolah-olah seperti cermin pandang belakang kereta yang menjadi panduan untuk negara ini dipacu ke depan. Untuk hanya memerhatikan masa ini dan masa depan, ia merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Mungkin bagi pihak yang mempunyai kekuatan harta dan kekayaan, sejarah sudah tidak penting. tetapi bagi mereka yang ketinggalan baik dari segi ekonomi mahupun politik, seperti orang Melayu sejarah menjadi hanya satu-satunya harta warisan.

Walaupun begitu pentingnya sejarah bagi orang Melayu, malangnya bangsa ini tidak memiliki peminat-peminat sejarah yang kuat untuk menjadi pelindung atau benteng kepada warisan negara. Apa yang ada hanyalah segelintir ahli sejarah seperti Prof. Nik Anuar Nik Mahmud dari Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Maka ulasan beliau terhadap isu ini seperti yang tersiar dalam Utusan Malaysia Jumaat lalu adalah bermakna.

Katanya, British mewujudkan kampung baru Cina hanya untuk memastikan kaum itu tidak dipengaruhi komunis. Ini kerana jika komunis berkuasa, Tanah Melayu akan menjadi negara komunis dan British kehilangan kepentingan mereka.

Penempatan di kampung baru dengan kemudahan jalan, elektrik, air paip, sekolah dan pusat kesihatan mampu mengelakkan orang Cina di pinggir hutan daripada bercampur dengan komunis, katanya.

Sebaliknya pada masa itu kampung-kampung orang Melayu tidak mempunyai kemudahan moden seperti itu. Kedaifan orang Melayu yang tidak mempunyai jalan baik, elektrik, air paip, sekolah dan pusat kesihatan mendatangkan kesan di mana pencapaian pendidikan orang Melayu juga tidak mencapai tahap yang baik.

Perlu diingat bahawa sebelum adanya Rancangan Briggs, gerakan komunis hampir menguasai Tanah Melayu. Wilayah-wilayah di tengah-tengah semenanjung, dari Johor seperti di Kluang hinggalah ke Kedah, di Baling telah dikuasai komunis. Gua Musang menjadi kawasan pertama diisytiharkan oleh parti Komunis Malaya (PKM) sebagai 'kawasan dibebaskan' (liberated areas).

Antara punca kejayaan gerakan komunis ini adalah atas sebab sokongan dan kerjasama orang Cina yang berada di pinggir hutan. Kebanyakan mereka adalah juga merupakan golongan susah dan bercucuk tanam di tanah-tanah yang diteroka secara setinggan. Selain di antaranya sememangnya simpati terhadap perjuangan komunis, yang lain pula dipaksa atau terpaksa membantu komunis kerana keadaan sudah menjadi sebegitu rupa.

Dengan kemenangan komunis di China, Korea dan Vietnam serta kedudukan politiknya yang kuat di Indonesia, maka Tanah Melayu sememangnya hampir menjadi komunis. Antara penghalang besar kepada sebarang kejayaan komunis di negara ini ialah pendirian orang Melayu yang menolak komunisme. Selain daripada faktor agama, orang Melayu juga turut dianiaya oleh Bintang Tiga semasa zaman peralihan pemerintahan Jepun dan British. Kezaliman komunis ini menjauhkan orang Melayu daripada komunisme. Hanya segelintir yang menyokongnya seperti pejuang-pejuang kemerdekaan Melayu di sekitar daerah Temerloh,

Tetapi kejayaan para penentang komunis, baik oleh kerajaan penjajah British mahupun orang Melayu yang memberi kerjasama kuat melalui penyertaan anak-anak Melayu dalam pasukan tentera hanya berlaku selepas dilaksanakan Rancangan Briggs. Kampung-kampung baru Cina ini berjaya menjauhkan orang Cina daripada komunisme. Selain daripada pemisahan antara keduanya, tetapi lebih penting lagi, kehidupan yang lebih senang dalam kampung baru berbanding daripada di hutan akhirnya melemahkan PKM.

Dibubarkan

Sepatutnya selepas Darurat, kampung-kampung ini dibubarkan supaya hak milik tanah Melayu dikembalikan oleh kerajaan. Tetapi dari segi praktikalnya, perkara ini tidak berlaku kerana kampung- kampung baru itu sudah menjadi sumber pengaruh politik yang kuat bagi kerajaan.

Sokongan orang Cina telah beralih kepada MCA yang menjadi salah satu tonggak kepada tiga parti Perikatan yang akhirnya memerintah negara ini. Apabila orang Cina menjadi warganegara Tanah Melayu merdeka, maka kedudukan mereka sudah setaraf dengan rakyat Raja-raja Melayu yang terdiri daripada orang Melayu.

Maka hakikat bahawa pada satu masa dahulu warga negara ini hanya terdiri daripada rakyat Raja-raja Melayu sudah tinggal dalam lipatan sejarah. Dalam sesebuah negara moden, semua warganegara adalah setaraf.

Penjajah British telah berusaha memastikan bahawa para pendatang yang pernah dibawanya untuk menggerakkan ekonomi kolonial bagi kemakmuran Great Britain dijadikan warganegara Tanah Melayu merdeka sedangkan pada mulanya, kehadiran mereka dianggap sementara.

Pada mulanya penjajah British hanya mahu menjajah dari segi ekonomi. Mereka masuk campur dalam urusan politik pun kerana kepentingan ekonomi imperial. Sebab itu British tidak terus menawan Tanah Melayu seperti penakluk-penakluk zaman dahulu. Mereka hanya mahukan keuntungan ekonomi, maka justeru dikekalkan kedaulatan Raja-raja Melayu dan sistem kenegaraan Melayu. Para pendatang yang dibawa masuk untuk bekerja pula dipandang akan kembali ke negara masing-masing setelah berjaya mengumpul harta.

Tetapi imperialisme mempunyai percanggahan sesama sendiri. Akhirnya imperialisme British bertembung dengan imperialisme Jepun. kejayaan Jepun pula dibantu oleh gerakan nasionalisme tempatan. Ia berlaku di India, Indonesia dan Tanah Melayu apabila Kesatuan Melayu Muda (KMM) turut membantu Jepun. Sebaliknya PKM pula menyebelahi British untuk menentang Jepun.

Namun begitu, setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, berlaku pula pertembungan antara imperialisme Amerika-British dan komunisme Soviet, juga sebenarnya adalah imperialisme atas nama para pekerja. Maka sebab itulah PKM memperjuangkan kemerdekaan tetapi atas asas komunisme, yang hakikatnya imperialisme Moscow-Beijing.

Maka dalam hal ini, orang Melayu memihak kepada penjajah British. Sikap orang Melayu ini lebih mudah berlaku apabila gerakan kemerdekaan Melayu yang diasaskan oleh ahli PKM seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dilumpuhkan.

Kini Darurat sudah lama berlalu dan medan persaingan adalah dalam bentuk politik demokrasi dan ekonomi global. Sebahagian daripada rakyat negara ini yang bilangannya besar tanpa mengira kaum sudah tidak puas hati dengan cara Barisan Nasional memerintah negara. Mereka mahukan pembaharuan dan sebagai alternatif, pilihannya jatuh kepada pakatan PKR-DAP-PAS.

Sokongan baru kepada pakatan yang menyaksikan penguasaannya di Perak menuntut mereka untuk lebih berhati-hati dalam memikul tanggungjawab. PAS, DAP dan PKR mesti lebih teliti mengkaji sejarah khususnya Darurat supaya polisi mereka tidak membahayakan keharmonian antara kaum di negara ini.

Untuk mentadbir negeri atau negara, mana-mana pihak tidak boleh bersifat ideologikal semata-mata sama ada atas nama Islam, demokrasi ataupun keadilan. Kebijaksanaan dengan mengambil kira soal sejarah, sensitiviti antara kaum dan agama mesti dilakukan. Begitu juga dalam soal pemberian hak milik tanah kepada kampung baru Cina.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url