Apa yang Pengundi Kuala Terengganu mahu?
HASSAN: Masyarakat sememangnya melihat kemampuan dan kekuatan sesuatu parti itu untuk membela nasib masyarakat.
Bagaimanapun, sedikit sebanyak calon tersebut perlu memainkan peranan untuk menarik sokongan kepada parti dan beliau.
Apakah ciri-ciri yang dicari oleh masyarakat dalam diri seseorang calon?
HASSAN: Beliau perlu mempunyai sifat yang membolehkan masyarakat mudah mendekati selain boleh bergaul dengan pelbagai peringkat masyarakat tanpa mengira darjat dan pangkat.
Selain itu beliau juga harus mesra bersama rakyat bak kata pepatah `biar lembut gigi daripada lidah'.
Harapan masyarakat terhadap calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu?
HASSAN: Masyarakat mahu calon berkenaan sentiasa mendahulukan kepentingan mereka berbanding perkara lain.
Mereka tidak mahu dilupakan atau dipinggirkan selepas sahaja tamat pilihan raya.
Mungkin calon itu perlu mempunyai personaliti seperti Allahyarham Datuk Razali Ismail?
HASSAN: Allahyarham Razali tidak pernah menunjukkan beliau mempunyai sifat berat sebelah atau mengira parti dalam membantu masyarakat terutama dalam bidang pendidikan.
Saya juga masih ingat Allahyarham Razali pergi ke masjid setiap solat Jumaat dan bersalaman dengan semua jemaah.
Saya berharap calon akan bersifat seperti beliau.
Bagaimanakah calon dapat membantu para nelayan?
HASSAN: Nelayan mempunyai banyak masalah terutama tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi kami tidak meminta beliau menyara kehidupan kami.
Cuma berilah perhatian dalam menjaga kebajikan kami seperti pemberian insentif skim bantuan sara hidup nelayan sebanyak RM200.
Nama: Hassan Ismail
Umur: 67
Jawatan: Pengerusi
Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan
DUN: Bandar