Tindakan pulau Coca-Cola tidak sesuai – Kadri

The Coca- Cola Company dan syarikat pembotolan yang menjadi rakan niaganya menyifatkan tindakan memboikot semua produk keluaran mereka tidak sesuai dilancarkan sebagai tindak balas terhadap kekejaman tentera Israel yang menyerang Palestin.

Pengarah Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Kadri Taib berkata, pihaknya percaya langkah memboikot produk mereka akan menjejaskan ekonomi, perniagaan dan kehidupan rakyat di negara ini.

''Di Malaysia, produk minuman Coca-Cola telah dihasil dan diedarkan oleh syarikat pembotolan F&N Coca-Cola selama 72 tahun dan kami mempunyai 1,700 pekerja di negara ini dengan 60 peratus daripadanya adalah beragama Islam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah membantu masyarakat di seluruh dunia termasuk di Malaysia menerusi pelaburan langsung, pengambilan pekerja dan sokongan yang diberi kepada organisasi tempatan.

Peluang

''Kajian bebas menunjukkan perniagaan The Coca-Cola Company secara tidak langsung telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan menerusi aktiviti pembekalan dan peruncitan produk syarikat kami," katanya.

Menurutnya, The Coca-cola Company ialah salah satu organisasi besar dengan menghasilkan jenama minuman yang terkemuka di dunia, iaitu Coca-Cola malah syarikat turut menawarkan perkhidmatan kepada rakyat di lebih 200 negara.

''Kami mempunyai satu juta pekerja di seluruh dunia termasuk pekerja-pekerja beragama Islam manakala pekerja kami di Asia Barat adalah berjumlah lebih 20,000 orang," katanya.

Kadri berkata, The Coca-Cola Company juga mempunyai lebih 250 pekerja di Lebanon dan 200 pekerja rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza.

''Kami tidak menyebelahi atau membelakangi mana-mana negara, kerajaan, parti politik atau pertubuhan agama.

''Sama seperti rakyat lain di dunia ini, kami sangat terharu dan berasa kasihan dengan situasi yang berlaku di negara Asia Barat," jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url