Ensiklopedia Kewangan Islam dilancar

Pastinya apabila menghadiri majlis di Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bukit Kiara di sini, setiap pengunjungnya akan menghadiri majlis ilmu yang berkaitan dengan pasaran modal.

Namun, majlis pelancaran Ensiklopedia Kewangan Islam hari ini benar-benar berbeza kerana ia memiliki gimiknya sendiri yang diwarnai oleh gesekan biola oleh seorang pemilik sebuah firma arkitek yang mendendangkan sebuah lagu lama yang menarik.

Hiburan itu membuatkan majlis pelancaran yang dihadiri oleh Pengerusi SC, Datuk Zarinah Anwar, penulis bersama ensiklopedia tersebut, Dr. Zaha Rina Zahari, Dr. Bala Shanmugam dan Nafis Alam nampak meriah.

Sebelum itu, majlis tersebut turut diperdengarkan ucapan Zaha Rina mengenai hasil ensiklopedia tersebut yang mana beliau dan rakan sekerjanya telah mengambil masa selama dua tahun untuk membangunkan bahan ilmiah itu dan ia bakal menjadi rujukan kepada mereka yang terlibat dalam industri berkenaan termasuk pelajar.

Malah, jelas beliau, ensiklopedia berbahasa Inggeris yang memuatkan 1,384 entri yang memiliki 439 terminologi, 372 dana ekuiti Islam dan amanah pelaburan hartanah (Reit) Islam serta 284 bank Islam dan syarikat pelaburan itu mampu dijual di pasaran antarabangsa.

''Tempahan awal yang saya terima sejak dua minggu lalu adalah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Bursa Saham Istanbul, selepas itu kami terus menerima banyak lagi tempahan dari bursa berkenaan,'' katanya.

Zaha Rina yang juga Pengarah MAA Takaful Bhd. (MAA Takaful) berkata, ensiklopedia itu turut memuatkan 89 nama pakar akademik, bank dan ketua daripada pelbagai institusi kewangan Islam, 78 organisasi takaful dan takaful semula, 65 sukuk serta 57 institut kajian Islam.

''Ia memiliki 568 muka surat dan dijual pada harga RM250 sebuah,'' jelas beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url