Karpal terus kritik Pemuda UMNO

Bukannya hendak meminta maaf, sebaliknya hari ini Karpal Singh menggelarkan pula Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai - budak kecil dan juvenil.

Dalam maklum balas kepada desakan Khairy supaya beliau mengemukakan bukti dalam tempoh 24 jam berhubung tuduhannya yang pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru kepadanya, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata:

"Khairy sepatutnya belajar daripada bapa mertuanya (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi). Saya bersama beliau telah memasuki Parlimen sejak 1978.

"Saya sudah berada dalam Parlimen selama tujuh penggal, siapakah Khairy Jamaluddin untuk mencabar saya.

"Saya tiada masa untuk Khairy, jikalau saya ada masa, baik saya gunakan untuk urusan lain."

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui di luar Istana Negara di sini hari ini.

Semalam, Khairy Jamaluddin memberi tempoh 24 jam kepada Karpal untuk mengemukakan bukti bahawa pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru bagi mengugutnya.

Terdahulu, sekumpulan ahli pergerakan itu dari Selangor berdepan dengan Karpal di pekarangan Parlimen, menuntutnya meminta maaf berhubung panggilan 'Pemuda UMNO celaka' di dalam Dewan Rakyat.

Bagi Karpal, beliau tidak gerun dengan 'ugutan' Khairy.

"Ini merupakan satu ugutan daripada Khairy terhadap saya. Saya tiada masa untuk juvenil politik.

"Saya ingin menjelaskan di sini, saya tidak takut kepada sesiapa. Jangan ugut saya...Jangan ugut saya," tegas beliau berulang kali.

Sementara itu, Pemuda UMNO sedia bertanggungjawab berhubung insiden kekecohan di bangunan Parlimen semalam, sekalipun terpaksa menghadapi tindakan mahkamah.

Malah Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sendiri sanggup tampil bersama-sama untuk memperjelaskan dan berdepan dengan apa jua kemungkinan.

"Kita lihat provokasi dibangkitkan bukan sahaja dalam hal memanggil 'Pemuda UMNO celaka' tetapi sebelum ini pun kita tengok provokasi demi provokasi yang bukan mudah kita bendung kemarahan orang ramai telah dilakukan.

"Dalam hal ini, jika saya sendiri perlu diheret ke mahkamah, saya sanggup lakukannya untuk memperjelaskan apa yang berlaku dan apa peranan saya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Belia Mengenai Keganasan di sini hari ini.

Hishammuddin mengulas insiden kekecohan di Parlimen semalam, apabila sekumpulan ahli Pemuda UMNO Selangor berdepan dengan Karpal Singh bagi mendesak Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu meminta maaf atas ungkapan menghina pergerakan itu.

Mereka tidak berpuas hati dengan ungkapan 'Pemuda UMNO celaka' yang diucapkan Karpal semasa sidang Dewan Rakyat selain kenyataannya menuduh ahli pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru ke kediamannya.

Hishammuddin berkata, Pemuda UMNO akan terus mempertahankan nama baik dan maruah orang Melayu terutama institusi raja-raja Melayu daripada dihina oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, insiden yang berlaku itu menunjukkan emosi ahli pergerakan tersebut sudah tidak dapat dibendung kerana perbuatan provokasi Karpal.

"Kita tahu jika kita paksa dia meminta maaf sekalipun, dia tidak akan melakukannya. Saya sudah kata Pemuda UMNO marah dan semua pihak pun marah. Siapa yang tak marah jika dipanggil dengan pelbagai nama.

"Jadi jangan main dengan api kerana kemarahan itu merupakan satu perkara yang jika tidak dibimbing dan dibendung akhirnya akan meluas pada isu yang lebih besar,'' tegasnya.

Beliau memandang serius keadaan yang berlaku sekarang dan memantau apa yang terjadi kerana ia dikhuatiri akan berleluasa.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url