Top Ad 728x90

Galak rakyat berbelanja

Ketika negara lain membuka lembaran tahun baru 2009 dengan persiapan rapi untuk berhadapan dengan kelembapan ekonomi, kita pula masih berkelahi semata-mata kerana kuasa politik.

Kemelut politik yang tidak berkesudahan itu dipantau dengan penuh minat oleh pelabur-pelabur luar negara.

Apatah lagi dalam keadaan ekonomi global yang muram ketika ini, pelabur akan sangat berhati-hati untuk menanam modal dan memperluaskan jaringan operasi.

Tentunya faktor utama yang diambil kira oleh pelabur ialah kestabilan politik dan keamanan di sesebuah negara.

Mengambil contoh paling mudah dan dekat ialah apa yang berlaku di Thailand. Sejak terjebak dengan kemelut politik awal tahun lalu dan masih berlanjutan sehingga kini, ekonomi negara itu jatuh merudum.

Pelabur-pelabur baru hilang keyakinan untuk berurus niaga manakala pelabur sedia ada pula mula memindahkan operasi. Sektor pelancongan yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi Thailand turut lumpuh kerana warga asing bimbang tentang soal keselamatan untuk melancong.

Semuanya gara-gara ketidakstabilan politik dan keamanan yang dicetuskan oleh rasa tidak puas kumpulan tertentu sehingga menyebabkan kerajaan gagal berfungsi.

Perkara ini sangat mudah untuk dikaitkan dengan apa yang sedang berlaku di negara ini terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu. Meskipun pilihan raya sudah berlalu hampir setahun, namun bahang kekalutannya masih terasa sehingga kini.

Situasi itu menyebabkan banyak pihak lebih berminat untuk memberikan tumpuan kepada pergolakan politik, berbanding ancaman yang lebih nyata dan serius iaitu krisis ekonomi.

Adalah mudah untuk membayangkan tindakan pelabur-pelabur asing dalam ketidaktentuan politik negara termasuk kemungkinan peralihan kuasa seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.

Mereka pastinya akan menunggu untuk melihat kebenaran tersebut kerana tindakan itu juga secara tidak langsung melibatkan kepentingan pelaburan mereka.

Begitu juga dengan pergolakan politik di Perak ketika ini, yang jika dinilai dari situasi semasa bakal mengambil masa yang panjang untuk dipulihkan sepenuhnya.

Ancaman terhadap kerajaan baru di Perak secara jelas menganggu urusan pentadbiran negeri. Perhatian yang seharusnya diberikan kepada agenda pembangunan rakyat juga tidak dapat dilaksanakan kerana tekanan daripada pembangkang yang enggan menerima hakikat.

Seharusnya parti politik yang tidak ditakdirkan untuk menjadi pemerintah, jadilah pembangkang dalam erti kata yang sebenar. Iaitu memberikan pandangan dalam konteks berbeza kepada kerajaan sedia ada untuk kesejahteraan rakyat.

Jika benar mereka berjuang untuk rakyat, maka pemimpin parti politik itu perlu mendorong pengikut mereka untuk mempertahankan keamanan dan ekonomi. Bukannya mengajak untuk menjatuhkan pemerintahan sedia ada.

Berada di barisan luar daripada kerajaan tidak bermakna mereka tidak boleh berjasa kepada rakyat.

Sebaliknya ketika inilah usaha itu harus dilipatgandakan kerana ia menjadi penilaian sebelum rakyat sekali lagi memilih pemimpin dalam pilihan raya antara empat hingga lima tahun akan datang.

Amalan negara berdemokrasi itu sekiranya benar-benar difahami oleh pemimpin dan rakyat pastinya tidak akan membawa kepada kecelaruan politik seperti ketika ini.

Adalah lebih baik untuk kerajaan sedia ada diberikan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah.

Sementelah, pembentukan kerajaan juga mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan yang sah. Maka sebarang tindakan mempertikaikannya hanyalah usaha yang sia-sia dan membuang masa. Yang paling parah menerima kesannya adalah rakyat.

Sikap menyokong secara membabi-buta termasuk aksi demonstrasi jalanan hanya merugikan diri sendiri.

Tidak salah menyatakan pendirian dalam berpolitik, tetapi biarlah mengikut saluran yang sah dan menggunakan imbangan rasional serta pengetahuan dalam menilai sesuatu perkara.

Apatah lagi dalam kesuraman ekonomi ketika ini, sikap keterlaluan rakyat menyukarkan kerajaan untuk menjayakan pakej rangsangan ekonomi yang faedahnya juga adalah untuk rakyat.

Dari sudut tanggungjawab kerajaan, pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan sekurang-kurangnya memberi nafas kepada pemulihan kelembapan ekonomi domestik.

Pakej peringkat pertama berjumlah RM7 bilion sudah pun diluluskan dan bakal disusuli dengan pakej peringkat kedua yang akan diumumkan dalam pembentangan mini bajet bulan depan.

Rakyat juga perlu menanam keyakinan dengan kebijaksanaan pemerintah untuk merangsang ekonomi negara sama seperti ketika berdepan dengan krisis pada 1997/1998.

Perlu untuk difahami, cabaran dan kesan krisis ekonomi yang melanda dunia ketika ini jauh lebih hebat.

Malah beberapa pemerhati ekonomi juga meramalkan kegawatan ekonomi ketika ini boleh menjadi lebih buruk berbanding krisis 'zaman gelap ekonomi' pada 1930-an.

Kesannya di negara ini sudah mula kelihatan sejak awal tahun apabila beberapa buah syarikat mula menutup operasi dan semakin ramai dilaporkan hilang pekerjaan.

Adalah diharapkan, kerajaan menerusi penubuhan tabung khas pekerja yang diberhentikan dapat membela nasib pekerja yang kehilangan punca pendapatan.

Namun, sebesar mana sekali pun suntikan intensif yang disediakan kerajaan, ia tidak akan membantu memulihkan ekonomi tanpa sokongan rakyat. Sebagai kuasa sebenar yang menggerakkan ekonomi negara, rakyat perlu menyedari peranan yang seharusnya dimainkan.

Tidak hanya sebagai penentu kestabilan negara, peranan itu juga boleh diperluas dalam konteks sebagai pengguna.

Krisis ekonomi ketika ini seharusnya tidak melunturkan keyakinan orang ramai untuk berbelanja, kerana tindakan itu akan memberikan lebih tekanan kepada ekonomi.

Sebaliknya jelas Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh, orang ramai perlu mengurus perbelanjaan secara berhemah iaitu dengan meletakkan keutamaan.

Pengguna juga perlu mengambil peluang daripada penurunan Kadar Dasar Semalam (OPR) daripada 3.25 peratus kepada 2.50 peratus seperti yang diumumkan oleh Bank Negara baru-baru ini.

Penurunan OPR itu bertujuan menggalakkan orang ramai supaya lebih berbelanja seterusnya menggerakkan sektor perniagaan.

"Kebanyakan pengguna ketika ini mengambil langkah berhati-hati dalam berbelanja dan tindakan itu menyebabkan sektor perniagaan terutamanya berasaskan perkhidmatan terpaksa gulung tikar," katanya.

Bagaimanapun dalam peningkatan jumlah pekerja yang diberhentikan, adalah mustahil untuk mengajak rakyat berbelanja.

Sektor industri kecil dan sederhana (IKS) misalnya, paling teruk terjejas dengan krisis ekonomi ketika ini. Dalam sektor IKS ini sahaja, terdapat kira-kira dua juta pekerja yang sangat tinggi risikonya untuk kehilangan pekerjaan.

Bagi kelompok ini, keutamaan untuk menyimpan adalah lebih tinggi berbanding berbelanja. Untuk itu, Mohammad Noorizzuddin menyarankan supaya pakej rangsangan ekonomi peringkat kedua nanti memberi faedah secara langsung dan terus kepada rakyat.

Antaranya meningkatkan jumlah elaun sara hidup (COLA), mengurangkan kadar tol serta cukai perkhidmatan dan sebagainya.

Pakej ekonomi itu juga wajar memberi tumpuan kepada projek berasaskan pertanian dan industri asas tani yang sentiasa mendapat permintaan.

Projek pertanian juga dapat diusahakan secara berkelompok sekali gus memudahkan usaha kerajaan membantu lebih ramai rakyat yang hilang pekerjaan.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90