Hari Wilayah - 1 Februari

Hari ini, buat kali kelima, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menyambut Hari Wilayah Persekutuan secara bersama sejak Kementerian Wilayah Persekutuan diwujudkan kembali pada 27 Mac 2004.

Apa yang lebih membanggakan, dalam jangka masa tiga tahun kementerian tersebut ditubuhkan khusus selepas diketuai Datuk Zulhasnan Rafique pada Februari 2006, visi dan misi kementerian itu terserlah melalui pelbagai pendekatan yang menjurus penambahbaikan, sistem penyampaian yang efektif serta banyak pembaharuan yang lain.

Penubuhan Kementerian Wilayah Persekutuan dilihat satu langkah progresif pucuk pimpinan negara untuk mewujudkan sebuah badan yang dapat menyelaraskan pentadbiran dan pengurusan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan agar berupaya mencerminkan pembangunan Malaysia yang mantap dan menyeluruh.

Di bawah entiti Wilayah Persekutuan, ketiga-tiga wilayah tersebut dilihat bukan sahaja semakin berkembang pesat dan maju malah dalam masa yang sama Kuala Lumpur menjadi pintu gerbang utama kepada pelancong dan pelabur asing.

Dalam masa yang sama, imej dan kredibiliti pembangunan dan kesejahteraan negara dicerminkan oleh tahap pencapaian, pembanguan dan kesejahteraan rakyat dan warganya.

Wilayah Persekutuan turut mempunyai peranan yang amat kritikal kepada penterjemahan idealisme dan potensi Malaysia kepada pengunjung pelabur malah pemimpin dan rakyat tempatan atau pun dari luar negara.

Sebagai gerbang utama ke negara ini, ketiga-tiga Wilayah Persekutuan mempunyai misi yang spesifik dan kepentingan tersendiri untuk memberi gambaran yang positif dan baik kepada pengunjung dan dunia luar tentang kejayaan pembangunan Malaysia.

Ia menjurus kepada pemantapan usaha pembangunan holistik dan menyeluruh bagi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dengan elemen keseimbangan dalam pembangunan infrastruktur fizikal rohaniah warga Wilayah Persekutuan.

Antara identiti baru ialah pelancaran bendera dan lagu rasmi Wilayah Persekutuan yang juga bertemakan Maju dan Sejahtera.

Bendera Wilayah Persekutuan memberikan satu imej baru kepada warga kota ketiga-tiga wilayah, sekali gus menyemarakkan lagi semangat maju dan sejahtera.

Tahun ini, dengan bertemakan Wilayah Maju Warga Sejahtera, Wilayah Persekutuan dilihat berjaya memberikan pembaharuan selain melakukan perubahan demi perubahan dalam usaha memberikan yang terbaik buat rakyat.

Pada masa yang sama, Zulhasnan turut memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk merealisasikan aspirasi dan visi pembangunan Wilayah Persekutuan seiring dengan pembangunan Malaysia yang maju.

Menurut Zulhasnan, selain mengambil langkah-langkah bagi menambah baik persekitaran dan kualiti hidup serta persekitaran kerja dan perniagaan, kini Kuala Lumpur menjurus kepada pengurusan perbandaran yang moden.

Konsep pembangunan itu memberikan penekanan pada pengurusan bandar raya secara bersepadu dan diyakini dapat memacu pembangunan mapan dan terurus.

Usaha-usaha yang dilaksanakan melibatkan semua pihak untuk menjana penemuan dan resolusi yang boleh digunakan sebagai asas penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan di Kuala Lumpur.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url