Apa ada pada Stesen Keretapi Kluang?
Cucunya yang kini berusia 30 tahun membuka kopitiam berjenama itu antaranya di pusat membeli belah Ikano, Damansara.
Antara pengunjung kopitiam ini ialah Faiz, 18 tahun. Bapanya menceritakan padanya betapa dalam tahun-tahun 60 dan 70-an, dia semasa kecil-kecil minum di kedai kopi stesen Kluang ketika menunggu keretapi setiap kali pulang ke Kuala Lumpur dari kampungnya di Batu Pahat bersama keluarganya. Kebetulan, pada 26 Januari lalu Faiz pulang ke kampung dan berbual dengan datuknya yang berusia 71 tahun.
Datuknya, seorang pesara menceritakan bahawa tahun lahirnya adalah sama dengan penubuhan syarikat Utusan Melayu Press.
Pada tahun itu juga kedai kopi di stesen keretapi Kluang itu memulakan perniagaannya. Ketika itu, tentunya pengasasnya dalam lingkungan belasan tahun memandang kini dia berusia lebih 80 tahun.
Stesen keretapi Kluang merupakan pusat hentian penting bagi Keretapi Tanah Melayu (KTM) bagi memenuhi kepentingan Johor wilayah Tengah. Estet-estet getah di sekitarnya sumber penting bagi ekonomi Johor dan Tanah Melayu.
Faiz bertanya datuknya bagaimana dia mula menyertai Askar Melayu Diraja. Maka datuknya bercerita bahawa pada tahun 1956, ketika Darurat sedang berada di kemuncaknya, dia menamatkan alam persekolahannya pada usia 18 tahun, iaitu sebaya dengan usia cucunya sekarang.
Ketika mencari pekerjaan hingga ke Singapura, datuknya ternampak poster yang menyeru anak-anak Melayu supaya menyertai pasukan tentera untuk mempertahankan negara. Lalu dia mendaftar dan diberi waran tiket keretapi untuk perjalanan dari Kluang ke Seremban sebelum dibawa dengan trak ke kem latihan tente di Port Dickson.
Tentu bila naik keretapi, datuk Faiz itu akan menggunakan stesen Kluang, pastinya dapat melihat kopitiam di situ, kalau tidak pun, sempat untuk minum kopi. Latihan tentera memakan masa enam bulan dan gambaran latihan itu telah diabadikan dalam filem P. Ramlee bernama Sarjan Hassan. Menurutnya, cerita Sarjan Hassan itu berdasarkan pada watak dan jalan cerita benar berlaku pada penghujung pemerintahan Jepun walaupun ada pengubahsuaian.
Faiz juga bertanya apakah operasi pertama yang dilakukan oleh datuknya sebaik saja tamat latihan tentera. Menurut datuknya, menjelang kemerdekaan, dia ditempatkan di kem tentera di Kluang dan pastinya keretapi merupakan alat pengangkutan yang membawa askar-askar dari Kuala Lumpur ke Kluang di mana gerabak khas diperuntukan untuk mereka.
Operasi pertamanya ialah mempertahankan sebuah estet tidak jauh dari Kluang. Ketika itu komunis menguasai banyak tempat di Tanah Melayu, dari Paloh di selatan hinggalah ke utara, sampai ke Baling dan Gua Musang.