Komen tentang Isu Derhaka Sultan
Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. – DR. MAHATHIR MOHAMAD (Bekas Perdana Menteri)
Tindakan mahu menyaman Sultan Perak adalah suatu langkah yang tidak bijaksana, berbaur politik, agenda pakatan pembangkang dan tidak menghormati hak raja di dalam Perlembagaan. Ia adalah amat memalukan, raja perlu dihormati. – MUHYIDDIN YASSIN (Naib Presiden UMNO)
Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, institusi raja dilibatkan begitu agresif sehingga ke peringkat perundangan hanya akibat daripada kekecewaan politik segelintir pihak. – DR. AHMAD ZAHID HAMIDI (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
Seolah-olah kita (orang Melayu) jadi patung wayang kulit, Karpal Singh pula menjadi `tok dalang’, manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengadu domba. – JAMALUDIN YUSOF (Presiden Pekida)
Tindakan Karpal Singh itu seolah-olah cuba menjolok sarang tebuan. Beliau boleh membawa kes tersebut ke mahkamah namun implikasi yang akan ditanggung nanti begitu besar kerana orang Melayu tidak akan berdiam diri. – IBRAHIM ALI (Presiden Perkasa)
Anwar dan Karpal sama sahaja, misi mereka untuk menjatuhkan kerajaan dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk memalukan kaum Melayu. Tindakan mereka membuktikan pembangkang berada dalam keadaan paling tertekan dan kehabisan idea untuk menipu rakyat. – FERIZ OMAR (Presiden Prowaris)
‘‘TINDAKAN pembangkang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah adalah tidak wajar. Mereka yang terlibat wajar dibuang daerah kerana menderhaka terhadap Sultan selaku ketua kerajaan.” – ALWI SULAIMAN
‘‘DATUK Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan rakan-rakannya daripada parti pembangkang wajar menghormati keputusan Sultan. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sebagai bekas Ketua Hakim Negara mesti lebih arif tentang undang-undang dan yakin keputusan dibuat baginda bersebab dan ada kebenarannya.” – NUR ASHIKIN ABD. AZIZ
‘‘TIDAK patut seorang Sultan yang berdaulat dan tinggi kedudukannya disaman oleh rakyat jelata. Walaupun ada yang berpendapat Sultan bersikap tidak adil dan salah membuat keputusan melantik Menteri Besar Perak yang baru, tidak wajar baginda digertak sedemikian rupa.” – MOHD. AZRIN RAJUMI
‘‘SULTAN sebagai ketua kerajaan di setiap negeri mempunyai kuasa mutlak membuat keputusan dan ini wajar dipatuhi oleh semua rakyat. Tidak logik dan tidak masuk akal jika mahu menyaman baginda sebab Kesultanan Melayu yang sudah wujud sejak dahulu kala wajar dijunjung selama-lamanya.” – JAMILAH ABD. HALIM
‘‘TINDAKAN menyaman Sultan boleh menjejaskan imej ketuanan Melayu dan menyebabkan rakyat hilang hormat terhadap institusi beraja. Perbuatan pemimpin pembangkang ini adalah perbuatan tidak sensitif dan kurang ajar.” – SAMSURI HASHIM
‘‘SEBAGAI rakyat Malaysia kita wajar menghormati Sultan tanpa mengira apa kaum pun. Apa sahaja dititah baginda wajar dipatuhi kerana baginda bertindak atas budi bicara selepas mendapat nasihat daripada banyak pakar yang arif tentang undang-undang.” – NOR HAZWANI
‘‘PERBUATAN pembangkang ibarat ‘bermain api’ kerana ia boleh menerbitkan perasaan marah di hati rakyat yang setia terhadap Sultan khususnya Melayu. Silap hari bulan, negeri Perak akan menjadi huru-hara disebabkan tindakan mereka.” – SHARUL ERWAN ROSLI
‘‘MANA boleh saman Sultan Perak sebab ini satu yang memalukan dan boleh mencetuskan kemarahan rakyat.” – YAP YONG SUAN
‘‘PERLU hormat Sultan, jangan heret baginda dalam kancah politik.” – LEE POH WAN
‘‘APA yang tuanku buat adalah betul di sisi undang-undang kerana kerajaan pembangkang sudah hilang majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri. Tindakan pembangkang ingin menyaman Sultan Perak cuma mahu memalukan tuanku.” - S.P Bala, 48.
‘‘RANCANGAN Karpal Singh ingin saman Tuanku Sultan cuma mainan politik pembangkang yang sudah tersepit.” - R. Tamilarasan, 48.
- UTUSAN