Saman Sultan: Dr. Mahathir terguris

Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) berasa terguris hati dan kurang senang dengan tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu memfailkan saman ke atas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, secara peribadi beliau tidak suka dengan hasrat Karpal tetapi hairan kerana orang Melayu sendiri nampaknya menyokong tindakan itu.

“Sebagai seorang Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksikan demonstrasi berenang dalam kolam peribadi bersaiz kecil yang dikeluarkan oleh firma tempatan, SmartPools Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, sudah ada segelintir orang Melayu sanggup menderhaka kerana fahaman politik walaupun jelas tindakan sedemikian tidak menjadi amalan rakyat negara ini.

Katanya, walaupun undang-undang membenarkan tindakan saman seperti itu dilakukan, pembangkang harus menghormati budaya rakyat negara ini.

Ditanya mengenai demonstrasi jalanan yang berlangsung di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam, Dr. Mahathir berkata, perbuatan itu juga bukan budaya rakyat Malaysia.

‘‘Perbuatan itu tidak beretika dan ini bukti pembangkang tidak hormat undang-undang, esok kalau mereka jadi kerajaan, polis pun mereka akan tangkap,” katanya.

Mengenai saranan banyak pihak supaya akta anti lompat parti digubal bagi membendung budaya lompat parti, katanya, Malaysia mempunyai undang-undang dan rakyat boleh mengubahnya mengikut keperluan dan saluran yang betul.

“Dulu UMNO juga ada buat surat meletak jawatan jika lompat parti tetapi amalan tersebut tidak sah mengikut undang-undang.

“Kalau tidak suka peraturan dan undang-undang yang ada, boleh tukar,” kata beliau lagi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url