Kad kredit dan budaya konsumerisme
Sebelum terhantuk baik tengadah
Riak dan takbur elok hindari
Supaya kita tak dapat padah
Sepasang suami isteri lulusan universiti berkahwin pada tahun 2000. Waktu itu jumlah gaji mereka sekitar RM4,500 sebulan. Tidak sampai enam tahun, pasangan itu dikurniakan dua anak dan berjaya membeli sebuah rumah teres dua tingkat dengan harga lebih kurang RM150,000.
Seperti lazimnya, bayaran pendahuluan ialah sebanyak 10 peratus daripada harga rumah. Ia dikeluarkan daripada simpanan mereka dan bakinya dilunaskan setiap bulan melalui pinjaman bank.
Sepasang suami isteri lain yang juga berkahwin pada tahun 2000 dan jumlah gaji mereka ialah RM6,000 sebulan. Pendapatan pasangan kedua ini lebih tinggi kerana suami bekerja swasta sedangkan pasangan pertama bekerja dengan kerajaan dengan gaji yang lebih rendah.
Pasangan kedua ini juga mempunyai dua anak tetapi masih tinggal di rumah sewa. Banyak sebab kenapa pasangan kedua ini masih belum mempunyai rumah sendiri walaupun pendapatan bulanan mereka jauh lebih tinggi daripada pasangan pertama tadi.
Kedua-dua pasangan suami isteri itu adalah bekas mahasiswa saya di Universiti Malaya pada penghujung 1990-an. Hubungan silaturrahim saya dengan mereka tetap mesra. Saya bebas menanyakan hal-hal yang agak peribadi sifatnya kepada mereka. Kerana itu tidak sukar bagi saya mengetahui aspek-aspek ekonomi dan kewangan dalam kehidupan rumahtangga mereka.
Saya bertanya kepada pasangan kedua yang berpendapatan lebih tinggi tetapi masih belum mempunyai rumah sendiri. Daripada rentetan jawapan yang diberi, saya membuat kesimpulan bahawa mereka terperangkap dalam “sindrom kad kredit” yang berkait rapat dengan budaya konsumerisme.
Menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia konsumerisme bererti “faham atau gaya hidup yang menganggap barang-barang sebagai ukuran kebahagiaan”. Sementara Oxford Paperback Dictionary Thesaurus pula mentakrifkan consumerisme sebagai “keasyikan masyarakat membeli-belah”.
“Tabiat konsumerisme” seperti itulah yang memperdayakan kita untuk berbelanja secara membuta-tuli atau membazir. Menggalakkan kita membeli barang-barang berharga mahal walaupun tidak memerlukannya, terlalu sering makan makanan segera yang dalam jangka panjang menjejaskan kesihatan. Atau minum kopi dan bersantai di restoran mahal semata-mata kerana hendak bergaya.
Takrif konsumerisme ini boleh diperluas untuk merujuk kepada tabiat meletakkan keutamaan yang salah bila berbelanja. Kerana itulah maka pasangan yang kedua itu masih tinggal di rumah sewa sedangkan pasangan pertama telah mempunyai rumah sendiri.
Saya diberitahu bahawa sejak bujang hingga mempunyai dua anak, si suami daripada pasangan kedua tidak henti-hentinya berhutang kepada dua bank yang mengeluarkan kad kredit.
Pasangan kedua yang dihinggapi oleh kuman konsumerisme itu hanyalah satu contoh daripada jutaan individu di negara ini (dan juga di negara lain) yang sudah masuk “perangkap kad kredit” dan dibelenggu hutang berpanjangan.
Menurut statistik Bank Negara, bilangan pengguna kad kredit semakin meningkat dari setahun ke setahun. Dengan sendirinya ini juga bermakna jumlah nilai transaksi jual beli menggunakan kad juga semakin bertambah. Ia juga bermakna bilangan manusia yang berhutang (selain berhutang kepada ah long) juga makin bertambah.
Berikut adalah angka-angka perbandingan yang mungkin boleh memberi gambaran yang lebih jelas. Pada 2003 penduduk Malaysia melakukan transaksi kad kredit purata sebanyak 5.8 kali, meningkat kepada 8.7 kali pada 2007.
Nilai purata transaksi jual beli menggunakan kad kredit penduduk Malaysia pada 2003 ialah RM1,159.60 dan jumlah itu meningkat kepada RM2355.32 pada 2007.
Pada tahun 2003, keseluruhan isi rumah di Malaysia terhutang kepada syarikat-syarikat kad kredit sebanyak RM275.176 bilion. Pada 2007, nilai hutang meningkat menjadi RM427.912 bilion. (Sekadar mengingatkan kita, angka satu juta ialah 1,000,000 (menggunakan enam sifar), manakala satu bilion ialah 1,000,000,000 (menggunakan sembilan sifar).
Pemilik kad kredit bertambah daripada 5,098,100 pada 2003 kepada 9,899,300 pada 2007. Jelas bahawa sindrom kad kredit semakin mencengkam kehidupan kita.
Bagi menghadapi zaman ekonomi yang muram ini, kita seharusnya bermuhasabah tentang tabiat berbelanja. Kita perlu membebaskan diri daripada sindrom kad kredit dan perlu merubah budaya konsumerisme yang kita anuti. Lebih baik kita menengadah terlebih dahulu daripada terhantuk.