Keluarga 'pocong' gemparkan penduduk Kota Tinggi
Dua sahabat, Mohd. Izzuddin Abd. Karim, 18, dan Mohd. Razif Ismail, 17, yang sedang menjala ikan di Sungai berkenaan kira-kira pukul 7 malam terkejut apabila terlihat objek yang menyerupai pocong yang tiba-tiba timbul di permukaan air di tebing tidak jauh daripada mereka.
Mohd. Izzuddin berkata, memang menjadi kebiasaan apabila ada masa terluang, dia dan Mohd. Razif sering menjala ikan di sungai itu tetapi belum pernah terjumpa perkara aneh seperti itu sebelum ini.
"Kami mula menjala kira-kira pukul 6 petang dan sebaik tiba di tebing berhadapan dengan dewan badminton di sini, tiba-tiba saya terhidu bau yang agak wangi seakan-akan bunga kemboja atau kapur barus tetapi tidak mengendahkannya.
"Sedang kami asyik menjala, entah dari mana tiba-tiba benda itu muncul dan timbul dari dasar sungai betul-betul di sebelah kanan saya. Saya dan Mohd. Razif tergamam seketika dan bergegas naik ke darat ekoran terperanjat sebaik terlihat benda itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, dia kemudian menceritakan kejadian itu kepada rakan-rakan yang lain tetapi mereka tidak mempercayainya sehinggalah muncul empat lagi objek yang serupa tidak jauh dari tempat 'pocong' pertama timbul.
Menurutnya, kelima-lima objek itu kelihatan seolah-olah seperti mayat yang telah lengkap dikapankan dengan kain putih.
Saiz setiap 'pocong' agak berbeza dan bagaikan seperti sebuah keluarga kerana dua daripadanya seperti orang dewasa, manakala tiga lagi seperti kanak-kanak," katanya.
Berikutan penemuan aneh itu, penduduk kampung kemudian melaporkan penemuan itu kepada pihak polis.
Mingguan Malaysia dimaklumkan, seorang penduduk, Meran Nor Hamil, 24, telah memberanikan diri membuka salah satu daripada 'pocong' tersebut.
Dia memberitahu terdapat satu bungkusan plastik hitam di dalam bungkusan 'pocong' berkenaan tetapi tidak berani membukanya.
Di bahagian tengah 'pocong' itu terdapat seketul batu seperti batu nisan dibaluti dengan kapas dan berbau kapur barus.
- UTUSAN