Pendapatan lumayan sebagai perunding kewangan
Siapa yang tidak mahu semua itu, hanya usaha dan kesungguhan membuatkan seseorang itu boleh ke tahap tersebut dan memiliki kereta mewah.
Untuk menceburinya dan merasai 'jiwa' kehidupan seorang perunding kewangan, agak belum terlambat terutama bagi graduan yang baru tamat pengajian, pekerja yang diberhentikan kerja akibat pergolakan ekonomi global dan mereka yang ingin 'berperang' dalam dunia saham.
Dilaporkan, bermula pertengahan tahun lalu sehingga kini, ramai pekerja terutama dalam sektor pembuatan dibelenggu rasa bimbang hilang pekerjaan ekoran kegawatan ekonomi global yang kesannya turut dirasai Malaysia.
Apatah lagi, pada akhir Disember lalu, dilaporkan seramai 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Keadaan itu turut mengundang kebimbangan dan ketakutan di hati tentang bagaimana untuk meneruskan kehidupan tanpa pekerjaan dan pendapatan.
Begitu juga dengan graduan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dan berpuluh-puluh lagi di IPTS (swasta). Semua lepasan IPTA dan IPTS ini akan berebut-rebut memasuki alam pekerjaan yang semakin terhad. Jadi, sesuatu perlu dilakukan.
Golongan ini harus memikirkan untuk menceburi bidang-bidang yang bukan semata-mata makan gaji di sektor swasta, syarikat multinasional atau kerajaan.
Mereka kini harus beralih angin sebagai perunding kewangan dan saham amanah yang mempunyai masa depan yang cerah dan menjanjikan pendapatan yang lumayan serta sekali gus membaiki kehidupan dan ekonomi mereka.
Saham amanah ialah suatu bentuk pelaburan yang kurang risiko berbanding dengan pasaran saham biasa. Saham amanah yang dilaburkan ke pelbagai sektor pelaburan seperti pasaran saham di Bursa Malaysia, bon, sekuriti kerajaan, simpanan tetap dan lain-lain pelaburan beretika yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Saham amanah amat baik jika dilaburkan untuk jangkamasa yang lebih panjang dari tiga tahun untuk tidak terdedah kepada risiko pasaran saham yang turun naik, sesuai untuk mereka yang ingin merancang kewangan untuk persaraan atau pendidikan tinggi anak-anak.
Kelebihan
Ketua Pegawai Eksekutif Charisma Strategy Sdn. Bhd., Hazfina Mohd. Tahir atau lebih dikenali sebagai Fiona berkata, banyak kelebihan yang dikecapi sebagai perunding kewangan. Namun yang penting ialah usaha yang tidak berbelah bahagi dan cintakan kepada kerjaya tersebut.
Menurutnya, sebagai perunding, dapat membantu ramai masyarakat Malaysia membuat pelaburan yang beretika dengan bank yang terkemuka dan merancang kewangan demi masa hadapan persaraan di hari tua.
"Kami dapat memberikan perkhidmatan nasihat untuk merancang kewangan. Itulah kepuasan yang sebenarnya dalam karier," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi perunding saham amanah, Mohd. Shafri Mastor, 30, dan Roziana Abdullah, 26, memberitahu, mereka mendapat kepuasan dari segi hubungan erat antara konsultan dan pelanggan di mana sekarang ini pelanggan menjadi sahabat mereka.
"Karier kami lebih kepada menjadi usahawan, jika kami bekerja lebih gigih, kami mendapat ganjaran komisen yang lebih di mana kami dapat meningkatkan ekonomi diri dan keluarga kami. Tiada had untuk kami mendapat pendapatan, semuanya terpulang pada diri sendiri untuk mendapat pendapatan yang lebih mewah,'' kata bekas pegawai pemasaran dan jurujual.
Menurut Sanorita Jaafar, 35, dan Farina Hussin, 28, kedua-duanya bekas setiausaha, mereka mengecapi kebahagiaan hidup kerana kepuasan menjadi seorang wanita yang berjaya dalam karier dan juga rumah tangga.
"Ini adalah kerana karier kami memberi masa yang fleksibel, dapat mengatur masa yang berkualiti dengan anak-anak dan suami dan berpeluang kenaikan pangkat yang cepat dan mudah,'' kata Sanorita yang kini berpangkat Agency Supervisor.
Bagi diri Junaina Ahmad Tbarani, 33, dan Noraspadalila Omar, 34, mereka kini menjadi Pengurus Agensi Kumpulan pada usia yang sangat muda dan mempunyai agensinya sendiri yang telah dan akan dibuka pada Mac ini.
Menceburi bidang ini turut memberi peluang menghadiri banyak kursus motivasi diri dan pembinaan insan atau self development.
Menurut Arma Wahab, 25 dan Nurul Haizum Naim, 24, mereka kini menjadi seorang yang amat positif, berkeyakinan tinggi dan berfikiran matang dibandingkan sebelum menyertai bidang ini, bahkan hidup lebih bahagia.
"Ia seronok kerana tiap-tiap hari adalah sesuatu yang baru, kami berpeluang berjumpa dengan ramai orang di luar sana. Bahkan, syarikat memberi insentif menghadiri konvensyen keluar negara kepada konsultan yang gigih,'' ujar bekas pereka grafik.
Cabaran
Sementara kata Fiona, setiap pekerjaan mempunyai cabarannya, begitu juga dengan perunding kewangan.
Ini kerana bidang pelaburan amanah saham masih baru di negara ini dan tahap kesedaran rakyat Malaysia yang masih kurang menyebabkan ada yang ragu-ragu atau menolak khidmat untuk persediaan merancang kewangan untuk persaraan mereka.
"Kerjaya ini agak mencabar untuk berhadapan dan meyakinkan orang ramai, jika tidak mempunyai disiplin diri, semangat yang kental dan tidak mempunyai visi hidup, boleh membuat seseorang perunding itu mengalah,'' katanya.
Justeru itu, kata wanita yang berwajah lembut tetapi berhati waja, syarikat saham amanah miliknya yang di bawah naungan bank terkemuka, semakin berkembang maju.
" Kami mencari mereka yang mempunyai motivasi diri yang tinggi, berdisiplin, rajin dan ingin mempunyai pendapatan yang tinggi.
"Kami juga ingin menolong memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang pekerjaan, atau graduan-graduan yang masih menganggur ataupun lepasan sekolah.
"Syarikat kami membuat siri jelajah pengambilan pekerja-pekerja di seluruh Malaysia bermula pada 17 Februari, jam 8 malam di Grand Ballroom Eastin Hotel dan seterusnya siri jelajah di seluruh Malaysia. Sebarang maklumat, sila hubungi 03-71182234