Top Ad 728x90

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

Mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan? Jawapan kepada persoalan ini jelas terpapar di dalam Akta SPRM.

Perbezaan paling ketara antara SPRM dan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) ialah kuasa pendakwaan selain kewujudan panel-panel yang dipertanggungjawabkan untuk menangani gejala rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM diberi kuasa untuk mengheret tertuduh ke mahkamah dan menjalankan sendiri pendakwaan.

Tertera pada sub seksyen 6 Seksyen 5 akta tersebut peruntukan ini:

"Ketua Pesuruhjaya hendaklah mempunyai segala kuasa pegawai Suruhanjaya dan hendaklah mempunyai apa-apa kuasa Timbalan Pendakwa Raya sebagaimana yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya bagi maksud Akta ini".

Hakikatnya kuasa pendakwaan itulah yang menjadi tunjang kegemilangan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) pada tahun 1970-an.

Ketika itu kes-kes besar dihadapkan ke mahkamah tanpa perlu ada campur tangan secara keterlaluan di pihak Peguam Negara.

Namun perkembangan selepas itu menyaksikan BPR hilang kuasa pendakwaan - semua kes mesti dirujuk kepada Peguam Negara sebelum keputusan untuk membawanya ke mahkamah.

Hakikatnya, perkara itulah yang sering dibangkitkan kerana ketiadaan kuasa mendakwa menjadikan BPR tiada autoriti untuk meneruskan pendakwaan bagi kes-kes yang telah dikenal pasti.

Kuasa BPR terhenti setakat menjalankan siasatan, manakala proses pendakwaan akan disambung oleh Jabatan Peguam Negara setelah mendapat 'perkenan' Peguam Negara.

Malah dengan adanya kuasa timbalan pendakwa raya di pihak Ketua Suruhanjaya membuktikan ketelusan di pihak kerajaan untuk memastikan SPRM benar-benar bebas tanpa perlu merujuk kepada Peguam Negara seperti amalan sebelum ini.

Ia sekali gus melepaskan hambatan serta menepis persepsi bahawa BPR tidak bebas dan wujudnya campur tangan di pihak Peguam Negara sebelum sesuatu kes berkaitan rasuah dipanjangkan ke mahkamah.

Namun timbul persoalan sejauh mana harapan rakyat untuk melihat SPRM melaksanakan kuasa pendakwaan itu sepenuhnya. Setakat ini telah nampak taring-taring suruhanjaya itu menunjukkan kuasanya - empat kes melibatkan pertuduhan rasuah diheret ke mahkamah semalam.

Tertuduh dalam kes-kes tersebut ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan, seorang penghulu, Ketua Perhubungan Teknikal Kumpulan Hartanah Selangor Berhad serta pegawai kanan kastam.

Jelas ada 'kepelbagaian' kategori kes dan tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah sekali gus menepis tanggapan akan wujud pendakwaan berpilih di pihak SPRM yang masih dilihat 'diikat' oleh Peguam Negara dan Perdana Menteri.

Ada juga yang melihat 'kejayaan pertama' mengheret empat individu itu ke mahkamah sebagai petanda awal untuk mewujudkan kegerunan masyarakat terhadap SPRM sekali gus menjarakkan mereka daripada amalan rasuah.

Apatah lagi semalam SPRM dilancarkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Turut diumumkan pada majlis tersebut panel-panel SPRM dan anggota yang diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab berat itu.

Namun mengaitkan SPRM dengan kuasa pendakwaan mengingatkan kita tentang kenyataan terbuka Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berhubung kes penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kenyataan yang begitu berterus terang itu mengundang tanda tanya tentang 'kebebasan' serta kuasa SPRM untuk mengheret Abdul Khalid ke mahkamah.

Ahmad Said bertegas pihaknya mempunyai keterangan dan bukti kukuh wujudnya penyalahgunaan kuasa dalam kes penyelenggaraan Lexus.

Kenderaan itu milik peribadi Abdul Khalid, kemudiannya 'ditukar' status menjadi kenderaan rasmi Menteri Besar.

Begitu juga dalam hal pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 - SPRM seperti yang diberitahu Ahmad Said mempunyai bukti dan keterangan kukuh.

Namun agak mengejutkan apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menyerahkan kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan sama ada mengheret kes tersebut ke mahkamah atau sebaliknya.

Dan ditanya lebih lanjut mengapa kes itu dirujuk kepada Peguam Negara, Ahmad Said berkata: ''Sebab dia VIP''.

Semestinya jawapan tersebut memberi gambaran serta kefahaman yang pelbagai di kalangan rakyat. Mengapa kes yang melibatkan 'VIP' memerlukan 'layanan istimewa' dan 'restu' Peguam Negara?

Apa jadi kalau kenyataan mengenai bukti dan keterangan kukuh itu tiba-tiba berakhir dengan kes tersebut tidak didakwa di muka pengadilan?

Bukankah ia bakal mengundang persepsi negatif di kalangan rakyat yang meletakkan kepercayaan serta harapan kepada SPRM.

Juga menimbulkan tanda soal ialah mengapa kuasa pendakwaan yang ada pada Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak digunakan sepenuhnya terutama dalam kes yang melibatkan VIP.

Atau mungkin kenyataan berterus terang Ahmad Said itu adalah lantunan kepada proses pendakwaan sebelum ini yang 'berpilih' dan 'terpilih' apabila ada nama 'orang penting' di dalam kertas siasatan.

Atau tidak mustahilkah luahan perkataan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mengiyakan cakap-cakap 'ikan bilis tersangkut, jerung terlepas'?

Hakikatnya, harapan rakyat dan barisan kepimpinan kerajaan terhadap SPRM amat tinggi. Malah Perdana Menteri mengulangi hasratnya untuk melihat gejala rasuah dihapuskan dengan penubuhan suruhanjaya itu.

Namun apabila ada cakap-cakap kurang enak di peringkat permulaan SPRM memulakan fungsinya, maka tindakan pantas membetulkan persepsi negatif itu daripada terus menular mesti disegerakan.

Persepsi buruk yang terbentuk amat sukar diubah biar apa pun tindakan SPRM di kemudian hari - lantaran boleh saja menggagalkan impian serta harapan semua pihak untuk melihat negara menduduki tangga teratas negara bersih rasuah.

Sebab itu, kesan maksud tersirat di sebalik tersiratnya lontaran kata-kata Ahmad Said itu mesti dipastikan tidak menuju ke arah pembentukan persepsi buruk itu.

Mungkin maksud Ketua Pesuruhjaya SPRM itu amat baik - untuk menunjukkan suruhanjaya telah menjalankan tugas menyiasat, mencari bukti dan keterangan.

Dan jika kes itu tidak didakwa ia adalah tanggungjawab Peguam Negara, bukan salah SPRM. Begitu juga kenyataan terbuka Ahmad Said yang mungkin juga bertujuan membuktikan ketelusan pesuruhjaya.

Beliau mahu rakyat tahu status siasatan. Namun banyak perkara mesti diberi perhatian dan dijadikan perkiraan sebelum sikap berterus terang ditonjolkan sedemikian rupa apatah lagi dalam isu membabitkan pendakwaan kes rasuah yang sering sahaja mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Matlamat SPRM amat murni - pelaksanaannya juga mesti murni - jika kuasa pendakwaan ada pada SPRM (itulah yang diperjuangkan selama ini) maka manfaatkan kuasa itu sepenuhnya.

Sebarang kerenah birokrasi yang boleh menghalang matlamat serta fungsi sebenar SPRM mesti dilenyapkan dari pandangan rakyat.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90