Ulangtahun ke 60 MCA

Kelazimannya, angka 60 dianggap sebagai angka yang besar. Bagi sesetengah daripada masyarakat pula, memasuki usia 60 tahun memberi gambaran bahawa kita sedang melalui fasa-fasa terakhir dalam kehidupan di muka bumi ini.

Bagi parti MCA yang akan merayakan sambutan ulang tahun penubuhannya ke-60 pada 1 Mac, sambutan tersebut bukanlah calang-calang sambutan biasa. Ia dilihat sebagai satu permulaan ke arah perjuangan yang panjang lagi mencabar dalam mengembalikan keyakinan pengundi Tionghua kepada parti berkenaan.

Lebih penting lagi, perjuangan yang dilalui ini bakal menentukan sejauh manakah relevannya dan hidup matinya MCA dalam persada politik negara untuk satu tempoh akan datang.

Perjuangan yang bakal ditempuhi ini sudah tentu tidak menjanjikan laluan yang mudah tetapi penuh dengan liku-liku berduri yang mampu mematahkan atau meningkat semangat ahli-ahli parti.

Pucuk kepemimpinan parti MCA di bawah Presiden barunya, Datuk Seri Ong Tee Keat sedar akan cabaran ini dan sedang berusaha sedaya-upaya dalam menanganinya.

Realitinya, laluan di hadapan ketika ini tidak begitu memberangsangkan. Kecenderungan pengundi-pengundi Tionghua untuk memberi sokongan kepada parti pembangkang khususnya Pas merupakan satu fenomena baru yang wajar dipandang berat oleh MCA.

Walaupun fenomena tersebut masih tidak menyeluruh, itu tidak bermakna trend berkenaan tidak boleh menjadi trend yang kekal.

Keberanian pengundi-pengundi Tionghua untuk menyokong calon Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) dan beberapa pilihan raya kecil lalu - satu trend yang tidak mungkin berlaku satu dekad lalu. Tetapi kini ia menjadi saksi kukuh bahawa bukan sahaja mereka tidak mudah termakan dengan janji-janji manis parti-parti politik bahkan juga pemikiran dan cita rasa mereka sudah jauh berubah.

Selain itu, penurunan signifikan populasi masyarakat Tionghua di negara ini daripada paras 25 peratus sekarang kepada di bawah paras 20 peratus dalam tempoh sedekad akan datang akibat kadar kelahiran yang rendah dan penghijrahan ke luar negara tidak banyak membantu.

Mengembalikan imej MCA daripada sebuah parti politik tidak bertaring, budaya menyelesaikan isu-isu rakyat di belakang tabir serta kecenderungan peranannya sebagai pertubuhan sosial semata-mata juga bukan tugas mudah dan bakal memakan masa.

Kesemua dilema itu sememangnya tidak sedap didengar di khalayak tetapi di sebalik kewujudan masalah itu, timbul kehendak bagi menyelesaikannya. Tidak ada mana-mana parti politik sekali pun yang mahu bergelumang dengan ketidaktentuan lebih-lebih lagi landskap politik negara sudah berubah selepas PRU 12. Survival kini menjadi keutamaan.

Kerana itu, untuk MCA melangkah ke hadapan dan membina satu imej baru yang lagi progresif dan bertenaga, perjuangan ini menuntut percaturan bijak dari segi strategi, pendekatan dan perubahan pemikiran dalam kalangan ahli-ahli dan pemimpin parti dalam menafsir serta menyelesaikan isu-isu yang berbangkit.

Ahli-ahli parti tidak boleh bercakaran sesama sendiri, begitu juga dengan pemimpin-pemimpin atasan. Mereka harus mempamerkan persefahaman jitu dan bersedia menggalas tugas memantapkan parti tanpa mengira kepentingan mahu pun pangkat.

Pada tempoh kritikal inilah, ahli-ahli dan pemimpin parti harus menunjukkan kematangan mereka dalam berpolitik. Berpolitiklah secara bijak dan gunakan kebebasan berpolitik demi kepentingan rakyat bukannya mengikut emosi.

Ketepikan agenda peribadi dan utamakan kepentingan parti. Segala isu-isu yang membabitkan kelangsungan rakyat mesti diberi perhatian serius agar mereka tidak terus sengsara.

Tidak dinafikan cabaran-cabaran yang dihadapi sekarang bukannya mudah malah bertambah sukar. Ia diburukkan lagi dengan krisis ekonomi global dan keadaan politik negara yang agak panas sejak akhir-akhir ini. Ini bermakna, keperluan untuk melakukan perubahan bukan lagi satu opsyen tetapi ia merupakan satu kemestian.

Sehubungan itu, langkah perubahan perlulah disertai dengan komitmen berterusan dan iltizam oleh semua pihak. Komitmen yang diberikan itu haruslah ditunaikan dengan sebaik-baiknya dan bukannya tinggal komitmen kosong sahaja. Pengundi mungkin tidak akan begitu pemaaf sekiranya kepercayaan terus dikhianati. Inilah pengajaran yang perlu diingat oleh semua pemimpin politik.

Dalam konteks ini juga, selain menekankan kepada isu-isu utama membabitkan kepentingan masyarakat Tionghua seperti pendidikan, ekonomi dan kesaksamaan dari segi peluang ekonomi, isu-isu lain yang mula mendapat perhatian masyarakat Tionghua khususnya mereka di kawasan bandar seperti ketelusan sistem penyampaian kerajaan, gejala rasuah dan masalah jenayah perlu diperhalusi.

Menyedari hakikat itu, pemilihan tema sambutan ulang tahun MCA ke-60 iaitu "60 Tahun Berbakti: Komitmen Sepanjang Zaman" sesungguhnya kena pada tempat dan tepat pada masanya.

Tepat pada masanya kerana pada ketika parti ini dan BN kini menghadapi gelombang politik yang tidak menentu, komitmen dan kesetiaan ahli parti adalah penting. Dengan adanya komitmen dan kesetiaan tidak berbelah bahagi daripada kalangan ahli parti, tidak mustahil MCA boleh bangkit semula.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Presiden MCA, Datuk Sri Ong Tee Keat dalam satu temu ramah dengan pihak-pihak media baru-baru ini sempena sambutan ulang tahun parti ke-60 menegaskan, parti yang diterajuinya harus menetapkan satu piawaian tinggi ketika berkhidmat kepada rakyat (termasuk masyarakat Tionghua).

Menurut beliau, berkhidmat kepada rakyat bukan sekadar turun padang dan mendengar permasalahan mereka sahaja di pusat perkhidmatan, sebaliknya mengenal pasti langkah-langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan tuntas.

"Jika kita gagal menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat sekarang, kita tidak mungkin dapat bergerak ke hadapan dan memperjuangkan kepentingan rakyat secara keseluruhannya," jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Bagi Setiausaha Organisasi MCA Wilayah Persekutuan Dr. Jeffrey Goh Sim Ik pula, beliau mengakui semua parti politik dalam BN termasuk MCA sendiri tidak mempunyai banyak pilihan selain memilih untuk berubah.

Katanya, angin perubahan dapat dilihat hampir di setiap aspek kehidupan; politik, trend pengundian dan pemikiran pengundi yang semakin kompleks dan adalah menjadi tanggungjawab untuk parti dan kerajaan menguruskan keadaan terbabit dengan bijak. Perubahan yang diambil haruslah direncanakan secara bermatlamat dan bukannya secara superficial sahaja.

Beliau yang pernah menjadi calon MCA untuk kerusi Parlimen Cheras pada PRU 12 lalu percaya, jika parti dan BN enggan melaksanakan agenda pembaharuan seperti yang dituntut oleh rakyat/pengundi, tidak mustahil pada PRU ke-13 nanti, penangan ke atas MCA/BN bertambah buruk malah mungkin tidak relevan lagi. Inilah senario yang perlu dielakkan!

"Penanda aras untuk menilai kekuatan sesebuah parti politik tidak terletak pada bilangan ahli-ahlinya tetapi menjurus kepada prestasi yang ditunjukkan dalam pilihan raya serta bilangan representasi dalam Kabinet dan kerajaan," tambahnya lagi.

Usia MCA hari ini telah mencecah 60 tahun dan sepanjang tempoh enam dekad ini, pelbagai suka-duka dan cabaran telah diharungi oleh parti berkenaan dengan jayanya. 60 tahun berlalu telah mendewasakan MCA menjadi sebuah parti politik yang matang lagi terbuka.

Persoalannya sekarang, apakah nasib MCA dalam tempoh 60 tahun akan datang? Di manakah kedudukan MCA selepas ini? Bagaimana pula penerimaan generasi muda terhadap parti berkenaan?

Semuanya kini terpulang kepada kebijaksanaan dan kewibawaan pemimpin-pemimpin MCA berikutnya dalam memacu parti tersebut ke hadapan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url