Universiti Teknologi Malaysia tampil imej baru

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini tampil dengan imej baru apabila membuat penambahbaikan pada logo dan slogan agar lebih berdaya saing.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, penjenamaan semula imej tersebut dilakukan bagi memudahkan orang ramai mengenali universiti berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini UTM hanya memaparkan logo semata-mata dan ia agak mengelirukan orang ramai apatah lagi terdapat 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

"Dengan imej baru ini, diharapkan orang ramai akan dapat mengenali UTM dengan lebih mudah," katanya semasa melancarkan imej baru itu di UTM, Skudai di sini hari ini.

Zaini memberitahu, usaha penambahbaikan imej baru itu dilakukan sejak empat bulan lalu oleh beberapa orang pensyarah dan kakitangan UTM.

"Untuk imej baru ini, UTM akan menggunakan logo yang mengandungi nama pusat pengajian tinggi di sebelah kanan lambang universiti dalam semua urusan.

"Slogan yang digunakan sebelum ini Malaysia's Premier University in Engineering and Technologi turut ditukar kepada Inspring Creative and Innovative Minds," katanya.

Dalam pada itu, imej baru universiti berkenaan nyata memberikan inspirasi baru kepada para penuntut dan kakitangannya.

Menurut mereka, logo yang mengalami proses penambahbaikan itu bukan sahaja kreatif, malah memudahkan orang ramai untuk mengenalinya.

Seorang Pegawai Perhubungan Awam UTM, Nor Azizah Ismail berkata, imej baru tersebut dapat membentuk identiti dan membina reputasi universiti itu agar lebih disegani.

Beliau berkata, reka bentuk logo dan slogan yang ternyata kreatif mampu menjadi lambang pengenalan yang utuh bagi pihak universiti.

"Saya menyambut baik imej baru itu dan saya berharap ia akan memantapkan lagi imej UTM di mata dunia," katanya.

Seorang penuntut, Wan Zuraidah Wan Ahmad, 21, mengakui imej baru itu dilihat lebih mudah dikenali berbanding logo lama.

"Dulu saya sendiri tidak mengetahui logo tersebut adalah untuk universiti dari mana, tetapi dengan imej baru ini ia lebih dikenali," katanya.

Pada majlis yang sama, Zaini turut membuat pengumuman bahawa Prof. Dr. Mohd. Tajudin Ninggal, 48, dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTM yang baru.

Mohd. Tajudin akan mula memegang jawatan itu pada 16 Februari ini bagi menggantikan Prof. Datuk Ir. Dr. Alias Mohd. Noor yang akan tamat tempoh perkhidmatannya sehari sebelum itu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url