95 peratus graduan MSU dapat kerja

Sebanyak 95 peratus pelajar Management & Science University (MSU) yang tamat pengajian tahun lalu mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.

Kadar itu meningkat lima peratus berbanding 90 peratus tahun sebelumnya.


Kajian pengesanan pelajar MSU yang dijalankan universiti itu mendapati graduan berkenaan memulakan kerjaya di pelbagai organisasi.

Presiden dan Naib Canselor MSU, Prof Datuk Wira Mohd Shukri Ab Yajid, berkata kajian terbaru itu membuktikan usaha universiti berkenaan menerapkan lima komponen utama merentasi kurikulumnya mendatangkan hasil.

Katanya, lima komponen utama itu ialah keusahawanan, nilai moral dan etika, teknologi maklumat, bahasa serta kemahiran insaniah.

"Penerapan keusahawanan serta nilai dan etika memainkan peranan penting dalam pembentukan graduan berkualiti. Begitu juga dengan kesungguhan MSU menitikberatkan elemen kemahiran insaniah sebagai persediaan awal pelajar sebelum mereka menceburi bidang kerjaya," katanya.

Kajian pengesanan pelajar MSU adalah kajian tahunan yang dijalankan universiti berkenaan sejak konvokesyen pertama. Ia bertujuan mengenal pasti tahap kebolehpasaran graduan yang dihasilkan.

Mohd Shukri berkata, sikap ke hadapan MSU itu serta penawaran program pengajian yang relevan dengan keperluan semasa berjaya menjadikannya institusi pilihan ramai.

Selain itu, katanya, input daripada pakar dalam bidang industri serta kerjasama dengan rakan universiti global turut memperkasakan lagi kualiti pembelajaran dan kelayakan graduan yang dihasilkannya.

"Ia membuktikan keunggulan sesebuah institusi itu tidak boleh disandarkan kepada prasarana yang serba canggih sahaja, sebaliknya perisian atau kandungan yang berupaya memenuhi cita rasa semasa akan menjadi sebab utama kenapa sesebuah institusi itu menjadi pilihan pelajar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, tidak hairanlah jika ramai graduannya dilamar syarikat ternama ketika mengikuti latihan industri.

Katanya, kejayaan MSU memberi nafas baru kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk terus berperanan membantu kerajaan menyediakan modal insan yang diperlukan negara pada masa depan.

"Ini membuktikan sektor pendidikan swasta bukan lagi pelengkap kepada institusi pendidikan sedia ada, sebaliknya memainkan peranan setara dengan institusi pendidikan awam," katanya.

MSU menawarkan program pengajian peringkat diploma, sarjana muda dan pasca siswazah melalui fakulti dan pusat pengajiannya iaitu Faculty of Health & Life Sciences, Faculty of Business Management & Professional Studies, Faculty of Information Sciences & Engineering, International Medical School, School of Pharmacy, Centre for Flexible Learning dan Graduate Management Centre.

Maklumat lanjut kursus yang ditawarkan MSU, hubungi Unit Kaunseling & Komunikasi di talian 03-55106868, SMS dengan menaip MSUINFOnama e-mel kepada 019-3419152/016-3568251/012-2496551 atau layari www.msu.edu.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url