Alia Sabur profesor termuda di dunia

Alia Sabur mencatatkan rekod dunia apabila menjadi profesor paling muda dengan memegang jawatan berkenaan pada usia 18 tahun.

Kedudukan itu membolehkan dia mencipta rekod baru selepas mengatasi ahli matematik Scotland, Colin Maclaurin yang juga pelajar Sir Isaac Newton dengan memegang jawatan berkenaan ketika berusia 19 tahun tujuh bulan iaitu pada 1717.

Alia yang dibesarkan di New York adalah anak pasangan Julie Sabur dan Mark kini menjalani penyelidikan pembangunan teknologi nano dalam sektor perubatan di Konkuk University di Seoul, Korea Selatan.

Berkongsi pengalaman menjadi ibu kepada anak pintar ini, Julie berkata, kecerdikan anak perempuannya diketahui ketika berusia lapan bulan kerana pada usia berkenaan Alia sudah boleh bertutur dan membaca.

Katanya, dia percaya anak yang baru lahir hingga berusia enam tahun adalah tahap sangat penting dalam perkembangan seseorang anak. Rajinlah membaca kepada anak anda dan galakkan mereka menerokai alam bacaan.

“Luangkan masa untuk menjawab soalannya. Jangan kata, Mak sibuk, Mak tak ada masa. Kalau tidak mengetahui jawapan kepada soalannya, kata padanya, marilah kita ke perpustakaan untuk mencari jawapannya,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Julie berkata, kepintaran luar biasa yang dimiliki Alia menyebabkan anaknya dikecualikan daripada mengikuti pengajian di peringkat asas selama lapan tahun dan seterusnya ditawarkan ke kolej.

Kecerdikan Alia katanya, semakin terserlah apabila dia mampu menyelesaikan permasalahan matematik pada tahap tinggi dan ditawarkan mengikuti program ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di Stony Brook University, New York pada usia 10 tahun.

“Selain mempunyai kepintaran luar biasa, Alia juga mempunyai kemahiran bermain alat muzik klarinet dan pada usia 10 tahun, anak kecil ini dengan pemain piano terkemuka Ling Lang menjayakan Mozart’s Clarinet Concerto,” katanya.

Menjadi ibu kepada anak cerdik, Julie berkata, dia memberi kebebasan seimbang kepada anaknya sepanjang tempoh kanak-kanak dan remaja kerana baginya, masa yang berharga ketika itu perlu digunakan sepenuhnya dengan bermain dengan rakan sebaya.

Jika dibiarkan Alia terus belajar beliau berkata, dikhuatiri jiwanya akan memberontak dan mengambil keputusan di luar dugaan hingga membinasakan karier dan masa depannya.

Sebelum ini, katanya, dia mengambil pengajaran daripada banyak peristiwa membabitkan anak pintar yang mengalami tekanan perasaan serius disebabkan desakan ibu bapa mahukan mereka memberikan terbaik.

“Tekanan itu menyebabkan mereka mengambil keputusan drastik hingga meragut nyawa dan keadaan ini menyebabkan berlaku pembaziran kerana kepintaran yang ada boleh dieksploitasi dalam membantu memajukan ummah.

“Walaupun sibuk mengendalikan kajian, Alia kini berkongsi maklumat dan kepakarannya kepada umum di peringkat global dengan menjayakan beberapa siri ceramah antaranya syarahan bertajuk Belajar Secara Berkesan Dalam Memaksimumkan Sesuatu Potensi di Kuala Lumpur, baru-baru ini,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url