Bilangan universiti tidak akan ditambah

Kerajaan tidak akan menambah bilangan universiti di negara ini kerana jumlah sedia ada telah mencukupi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah meningkatkan keupayaan serta kecemerlangan universiti-universiti tersebut.

‘‘Tumpuan kita ialah untuk menentukan pembangunan universiti yang ada, sampai ke peringkat optimum bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga modal intelektual dan ini memakan masa yang lama,’’ katanya.

Najib berkata, pembangunan modal intelektual merupakan cabaran sebenar dan bukan hanya memperbanyakkan bilangan universiti di negara ini.

‘‘Misalnya, kementerian (Kementerian Pengajian Tinggi) menetapkan setiap universiti perlu 70 peratus tenaga pengajarnya memiliki doktor falsafah (Phd). Bukan semua universiti sudah sampai ke peringkat ini.

‘‘Jadi, kita kena beri peluang untuk universiti-universiti ini sampai ke tahap matang dan optimum, bukan dari segi pembangunan prasarana tetapi dari segi pembangunan modal intelektual,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, bilangan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang terdiri daripada 20 universiti awam dan 41 IPT swasta adalah mencukupi.

‘‘Setiap negeri ada universiti, negeri yang dulu menang pun telah ada universiti, negeri yang kalah pun ada universiti, jadi tidak perlu lagi tuntutan universiti, apa yang perlu bagi kita ialah memberi tumpuan kepada universiti-universiti ini agar menjadi lebih berjaya, lebih cemerlang,’’ tegasnya.

Mengenai pemberian kuasa autonomi kepada universiti, Najib berkata, kerajaan bersedia menambahkan lagi kuasa tersebut sekiranya langkah itu diterjemahkan dalam bentuk kecemerlangan prestasi.

‘‘Kita ingin melihat bahawa universiti-universiti ini sekiranya ingin menjadi cemerlang, mesti diberi kuasa untuk membuat keputusan sendiri misalnya dari segi menentukan pelantikan, kurikulum, perbelanjaan dan pembangunan penyelidikan (R&D),’’ katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url