Demokrasi, tradisi, toleransi dan provokasi
Sistem yang ada diuji jangan
Amalan tradisi elok diikut
Janganlah jadi kuda tunggangan
ADA yang berpendapat apa yang berlaku di Perak ialah krisis perlembagaan. Seorang pakar perlembagaan, Profesor Shad Saleem Faruqi menggunakan ungkapan constitutional impasse atau “kebuntuan perlembagaan”.
Saya lebih cenderung memanggilnya satu rentetan ujian ke atas sistem sosial dan politik Perak khususnya dan Malaysia, amnya.
Selama lebih setengah abad, sistem tersebut dan semua sub sistemnya beroperasi lancar dengan mengamalkan demokrasi secara teliti dan bijaksana, menghormati tradisi serta adat dan sikap toleransi beradab.
Meminjam ungkapan warisan budaya lama, saya menganggap demokrasi, tradisi dan toleransi sedemikian adalah ibarat “tiga utas tali terjalin satu” atau “tungku tiga sejerangan”. Ia adalah jaringan atau jalinan tiga unsur yang tidak sentiasa sama sifatnya tetapi saling melengkapi dan mengawasi.
Jalinan tiga unsur itulah yang memberi dinamik terhadap sistem sosial dan politik kita. Lebih daripada sekadar dinamik, jaringan dan jalinan ketiga unsur itu juga telah mempertahankan kestabilan dan ketenteraman.
Maka wujudlah satu suasana ideal yang dirujuk dalam pengajian sains sosial sebagai “kestabilan dinamis” iaitu konsep yang dipinjam daripada disiplin kejuruteraan.
Suasana sosial politik bercirikan kestabilan dinamis itulah untuk selama lebih 50 tahun sejak merdeka, menggerakkan kemajuan tanpa huru-hara dan sekali gus mengekalkan keamanan, pembangunan dan kemajuan.
Tetapi semua itu kini diuji dengan tindakan-tindakan provokasi silih berganti yang kadang-kadang bukan sahaja bersifat kebudak-budakan malah melanggar adab. Prinsip dan doktrin demokrasi sengaja dimanipulasi. Tradisi serta adat diinjak-injak.
Semangat tolak ansur diperlekeh dan tidak dihargai lagi. Ketiga-tiga unsur itu telah menjadi sasaran provokasi yang tidak berkesudahan.
Pihak yang menimbulkan provokasi itu, sama ada disedari atau tidak, sebenarnya melakukan “perjudian”. Yang dipertaruhkan dalam perjudian ini ialah “kekuasaan”. Risiko daripada perjudian itu ialah kecelaruan sistem sosial dan politik.
Sistem itu kini menghadapi ujian yang gawat dengan pelbagai tuntutan dan dakwaan serta cabaran dan persaingan. Daripada segi analisis sains politik, bila satu sistem sosial menghadapi tuntutan dan cabaran luar biasa, maka ia akan berdepan dengan satu daripada tiga kemungkinan.
Pertama, sistem itu akan “menampung” pelbagai tuntutan tersebut dan kedua, ia akan “membendung” atau menafikan tuntutan berkenaan. Dan yang ketiga, jika tidak berupaya menampung dan membendung, maka sistem itu akan menjadi “lumpuh”.
Peristiwa 13 Mei 1969 adalah satu contoh bagaimana sistem politik pada masa itu menjadi lumpuh apabila tidak dapat menampung dan membendung pelbagai tuntutan sosial dan politik.
Akibat tuntutan dan cabaran yang melampau, sistem yang sebelumnya aman dan bertamadun telah diambil alih oleh keganasan gara-gara emosi yang tidak terkawal dan provokasi berlebih-lebihan.
Semua itu memaksa Menteri Dalam Negeri ketika itu mengisytiharkan “demokrasi telah mati di Malaysia”.
Maka prinsip dan amalan demokrasi yang selama ini memberi kemudahan untuk menyalurkan pelbagai tuntutan terpaksa dibekukan buat sementara dan sistem berkenaan diubah suai menjadi sistem lain yang “kurang demokratik” sifatnya.
Dalam konteks inilah tiga unsur - demokrasi, tradisi dan toleransi - yang kita ibaratkan sebagai “tiga tungku sejerangan” itu, wajar ditinjau kembali. Antaranya ialah demokrasi itu tidak pernah terlaksana dengan sempurna atau secara mutlak. Di Malaysia, amalan demokrasi mestilah mengambil kira tradisi dan sistem sosial yang mendukung dan melahirkan tradisi itu.
Demokrasi hanya mungkin berjalan lancar jika disesuaikan mengikut masa dan tempat serta situasi. Demokrasi negara ini berjaya sampai ke tahap sekarang setelah melalui proses evolusi dan penyesuaian. Namun hingga sekarang amalan itu masih belum dapat dianggap sempurna.
Kesimpulannya amalan demokrasi di Malaysia mestilah mengambil kira tradisi dan sistem sosial yang mendukung dan melahirkan tradisi itu. Selain keperluan agar sentiasa peka terhadap tradisi, tidak kurang mustahaknya ialah mengawal diri dengan semangat toleransi dan bertolak ansur.
Adalah satu kesilapan untuk menguji toleransi secara melampau dan keterlaluan. Oleh itu, demi kelangsungan hidup kita bermasyarakat dan demi negara, maka awasilah diri daripada berterusan dirasuk oleh naluri dan nafsu provokasi yang boleh membunuh demokrasi itu dan melumpuhkan sistem sosial politik yang sedang berjalan.
- UTUSAN