Pengagihan ASM 6.25 sen seunit bagi tahun 2008

Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.25 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009.

Jumlah agihan itu merupakan agihan terendah sejak ASM dilancarkan pada 2000.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, jumlah agihan pendapatan itu adalah munasabah memandangkan tahun ini sangat mencabar kesan krisis kewangan yang semakin meruncing.

Menurut beliau, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM407.58 juta.

''Jumlah agihan pendapatan itu akan membabitkan pembayaran kepada 402,513 pemegang yang melanggan sejumlah 7.21 bilion unit ASM,'' katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan ASM di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga 13 Mac lalu, ASM memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM440.73 juta yang mana RM219.33 juta atau 49.76 peratus disumbangkan oleh pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat.

Tambah beliau, sebanyak RM137.84 juta atau 31.28 peratus pula disumbangkan oleh keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat manakala RM83.56 juta atau 18.96 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek.

Sementara itu, pada sidang akhbar berasingan, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, sekiranya mengikut kapasiti sebenar pendapatan ASM tahun ini, PNB berupaya memberi pengagihan pendapatan sebanyak 7.92 sen seunit tetapi perlu menyimpan baki agihan tersebut sebagai rizab pada tahun depan.

Ditanya mengenai prestasi ASM pada tahun depan, Hamad Kama Piah berkata, adalah mustahil bagi PNB untuk membuat ramalan tetapi memberi jaminan akan berhati-hati dalam pelaburan yang dibuat bagi memberi kestabilan pulangan jangka panjang.

Tambah beliau, kalau dibandingkan pada tahun kewangan lalu sehingga sekarang, produk ASM menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus, turut menjadi faktor jumlah agihan merosot kerana kecairan semakin besar.

''Kita perlu membuat strategi yang betul termasuk membeli saham-saham yang nilainya merosot sekarang berbanding sebelum ini,'' ujarnya.

Bagaimanapun, Hamad Kama Piah optimis, dana ASM yang mempunyai nilai tunai sebanyak RM2.1 bilion akan digunakan untuk strategi produk itu termasuk membeli saham-saham berpotensi dan meletakkannya dalam instrumen jangka pendek.

''Saya tidak akan menyatakan strategi PNB tetapi apa yang boleh saya katakan, kita mungkin akan gunakan tunai tersebut untuk membeli saham dan bon, bergantung kepada situasi pasaran.

''Apa yang penting, PNB akan mengukuhkan portfolio ASM, itulah strategi kita,'' tambahnya.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASM itu akan dibuat berdasarkan kepada purata baki terendah bulanan untuk tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan itu.

Pengagihan pendapatan ASM itu akan dilaksanakan menerusi pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2009.

Bagi tujuan pengiraan pendapatan itu, semua urus niaga bagi ASM di pejabat dan agen Amanah Saham Nasional Bhd. akan ditangguhkan mulai 25 Mac sehingga 31 Mac ini. Para pemegang unit boleh mengemaskini buku masing-masing mulai 1 April ini.

- UTUSAN
www.utusan.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url