Top Ad 728x90

Penuaan dan kemerosotan mitokondria

Lebih 200 penyakit keturunan dikaitkan dengan kerosakan fungsi mitokondria termasuk beberapa penyakit usia seperti Alzheimer, Parkinson, kencing manis, kanser, penyakit jantung dan strok. Fungsi mitokondria memberi kesan kepada hampir setiap proses penting sel.

Penyelidik di Institut Penuaan Kebangsaan Baltimore, Rafael de Cabo menyatakan kesan tersebut menerangkan mengapa kebanyakan permasalahan keseimbangan tenaga seperti kencing manis atau sarkopenia (sejenis penyakit yang kemerosotan otot) sekurang-kurangnya mempunyai kaitan dengan masalah mitokondria.

Mitokondria adalah loji 'janakuasa' bagi sel-sel badan. Ia merupakan struktur halus yang dijumpai di dalam setiap sel dan ia bertindak seperti relau yang menjana sebahagian besar tenaga yang digunakan oleh badan. Kebanyakan sel dalam badan manusia mengandungi sekitar 500 hingga 2,000 mitokondria.

Mitokondria agak luar biasa di kalangan struktur-struktur dalam sel kerana ia mempunyai gen (DNA) sendiri (DNA kebiasaannya hanya terdapat di nukleus sel). DNA Mitokondria (mtDNA) juga lebih mudah rosak akibat kesan aktiviti harian.

Daripada oksigen yang diambil oleh sesuatu sel biasa, mitokondria dengan bantuan koenzim Q10 (Co Q10) akan menukar 95 peratus daripadanya untuk membantu menukarkan makanan (lemak dan karbohidrat) menjadi bahan bakar kimia yang dikenali sebagai adenosina trifosfat (ATP). Oleh itu, setiap kali kita bernafas, kita memberikan penggalakan tenaga kepada sel-sel badan.

Namun, setiap kali mitokondria menjanakan tenaga, ia juga mengeluarkan radikal bebas yang amat merosakkan dan mesti dineutralkan sebelum ia menyebabkan sebarang kerosakan. Jika tidak dineutralkan, radikal bebas boleh menyebabkan kerosakan teruk kepada setiap bahagian mitokondria termasuklah membran dan mtDNA.

Membran mitokondria merupakan kunci bagi pengeluaran tenaga. Jika membran itu rosak, maka pengeluaran tenaga akan berkurangan dan toksin akan terkumpul. Akhirnya, sel akan rosak dan fungsi organ terbabit terganggu jika banyak sel yang rosak. Untuk mencegah kerosakan akibat radikal bebas, sel badan menggunakan satu kombinasi antioksidan yang terdiri daripada Asid Alfa Lipoik (ALA) dan Acetyl L-Carnitine (ALCAR) bagi membantu mengurangkan kerosakan dan menjaga fungsi mitokondria.

ALA dan ALCAR untuk jantung

l Acetyl L-Carnitine (ALCAR) merupakan sebahagian daripada unsur semula jadi yang didapati dalam membran mitokondria, terutama sekali di jantung, otak, dan otot. Oleh itu, untuk mengekalkan kesihatan jantung yang optimum, serta fungsi pemikiran dan daya ingatan, pastikan anda mendapat ALCAR yang mencukupi. Memandangkan paras ALCAR semakin merosot dengan usia, pengambilan suplemen ALCAR adalah amat penting bagi membantu memulihkan fungsi mitokondria.

Satu lagi fungsi ALCAR yang sangat penting ialah keupayaannya untuk membakar asid-asid lemak (lemak) untuk ditukar menjadi tenaga. ALCAR juga terlibat dalam pengangkutan asid lemak yang berantai panjang ke dalam mitokondria untuk ditukarkan menjadi tenaga oleh Co Q10. Fungsi jantung juga akan terjejas sekiranya ia mengalami kekurangan sumber bahan bakar utamanya, iaitu lemak. Jika anda mengambil ALCAR, anda akan memperbaiki pengangkutan, justeru itu lebih banyak asid lemak boleh dibawa masuk ke dalam mitokondria untuk digunakan dengan lebih cekap bagi menyokong fungsi jantung.

l Asid Alfa Lipoik (ALA) adalah sejenis antioksidan yang amat mujarab dan ia membantu meneutralkan radikal bebas yang menjadi produk sampingan ketika proses pengeluaran tenaga. Kajian mendapati ALA akan menurunkan secara mendadak tekanan oksidatif (kerosakan angkara radikal bebas) dalam jantung. Penurunan tekanan oksidatif juga akan mengurangkan kerosakan mitokondria. Oleh itu, pengambilan suplemen ALA dapat membantu melindungi mitokondria daripada kerosakan akibat radikal bebas.

ALA dan ALCAR untuk daya ingatan dan pemikiran

Gabungan antara ALA dan ALCAR membantu memperbaiki prestasi daya ingatan dan pemikiran di kalangan mereka yang berumur. Ini juga melibatkan mitokondria. Terdapat bukti bahawa mitokondria dalam otak adalah amat penting terhadap fungsi daya ingatan dan pemikiran.

Bahagian acetyl daripada ALCAR dikaitkan dengan pembentukan pemancar neuro acetylcholine, iaitu sejenis sebatian yang dipercayai boleh mempengaruhi fungsi mental. Kepincangan metabolisme acetylcholine dalam otak dipercayai ada hubungkaitnya dengan demensia akibat penuaan, seperti penyakit Alzheimer dan Parkinson. Kedua-dua ALA dan ALCAR dapat menembusi lapisan halangan darah-otak dan dengan itu akan memanfaatkan otak.

Walaupun ALA dan ALCAR berlainan tugasnya, kedua-duanya dapat bekerjasama bagi menjaga tekanan oksidatif dan kemerosotan pengeluaran tenaga yang berlaku sejajar dengan peningkatan usia, seterusnya membolehkan jantung dan otak berfungsi dengan lebih baik.

ALA dan ALCAR bersama Co Q10

Koenzim Q10 (Co Q10) telah diketahui kepentingannya dalam pengeluaran tenaga (ATP). Tanpa Co Q10, mitokondria tidak dapat mengeluarkan tenaga dan tanpa tenaga tidak mungkin ada kehidupan. Walaupun ALCAR boleh mengangkut asid-asid lemak ke dalam mitokondria untuk dibakar menjadi tenaga, Co Q10 tetap diperlukan untuk menukarkan asid-asid lemak menjadi tenaga. Oleh itu, kedua-duanya bekerjasama secara bersinergi dalam proses pengeluaran tenaga.

Co Q10 juga sejenis antioksidan yang amat berkuasa yang bagus untuk mitokondria, tepat di lokasi pengeluaran radikal bebas. Ini terbukti amat berfaedah untuk mencegah kerosakan membran-membran mitokondria dan mtDNA, yang mungkin secara langsung akan mengurangkan pengeluaran tenaga. Sehubungan dengan itu, Co Q10 turut melengkapi tindakan ALA, sebagai sejenis antioksidan yang kuat.

Penjagaan Mitokondria

Setiap orang boleh mendapat manfaat daripada mengambil kombinasi tiga bahan berkenaan. Mereka yang dalam lingkungan umur 40-an ataupun yang lebih muda, boleh merasai kesan baiknya dengan ketara. Antara manfaat yang paling biasa dilaporkan ialah peningkatan tenaga sepanjang hari serta kecerdasan mental yang lebih hebat.

Kerosakan mitokondria dan fungsi mitokondria yang lemah dalam pengeluaran tenaga telah pun dikaitkan dengan kejadian beberapa penyakit. Oleh itu, penjagaan mitokondria yang baik merupakan peluang terbaik untuk mengekalkan kesihatan sel-sel, organ dan badan sehingga ke hari tua anda.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90