Salih Yaacob nikah empat?

“Memang ada perancangan bernikah hari ini (semalam) tapi nampaknya terpaksa ditunda atas sebab tidak dapat dielakkan,” akui pelawak dan pelakon terkenal, Salih Yaacob, 48, mengenai khabar angin mengatakan dia akan bernikah untuk kali keempat.

Salih yang juga penyampai radio Sinar FM dikatakan bakal melangsungkan majlis perkahwinan di sebuah hotel terkemuka, semalam. Lebih menarik, ini perkahwinan keempat Salih kerana sudah mempunyai tiga isteri sebelum ini.

Bagaimanapun, ketika dihubungi semalam, Salih berkata ia bukan majlis perkahwinan meriah di hotel sebagaimana digembar-gemburkan, sebaliknya hanya perancangan melangsungkan pernikahan. Kemudian barulah diikuti majlis persandingan pada waktu yang belum ditetapkan.

Katanya, bakal isteri barunya yang berusia 29 tahun adalah anak tunggal seorang ahli perniagaan berstatus Datuk Seri. Malah, Salih tidak keberatan bercerita mengenai perkenalan hingga setuju menjadikan wanita itu isteri keempatnya.

“Sebenarnya dia mengalami kecederaan disebabkan satu kemalangan. Hendak dijadikan cerita, dia mendengar program Sinar Pagi menerusi Suria FM setiap hari dan keadaannya bertambah baik.

“Dari situlah keluarganya menghubungi saya menceritakan perkara itu dan mencadangkan saya bertemu anak mereka untuk membantu memulihkannya. Kali pertama bercakap dengannya menerusi telefon, keadaannya cukup mengejutkan keluarganya kerana menunjukkan maklum balas positif.

“Mereka kemudian meminta jasa baik saya memulihkannya dengan menyatukan kami terlebih dahulu. Bagaimanapun, ada sedikit masalah yang berlaku hingga rancangan itu terpaksa ditunda tetapi sukar untuk saya jelaskan sebab sebenar kerana ia agak kompleks,” katanya.

Lebih menarik, kata Salih, sebenarnya dia belum berkesempatan bertemu bakal isterinya itu, sebaliknya hanya berhubung melalui telefon. Dia hanya bertemu orang tengah yang diutuskan keluarga gadis itu.

“Sejak sebulan lalu sudah sepuluh kali perancangan saya bertemunya tapi pelbagai perkara berlaku hingga kami gagal bertemu. Antaranya, mengalami kemalangan dan macam-macam masalah lain.

“Seolah-olah ada pihak cuba menghalang saya bertemunya. Lebih mengejutkan, saya difahamkan dia turut mengalami pelbagai masalah akhir-akhir ini hingga tidak tenteram berada di rumahnya. Sejak semalam, saya terputus hubungan dengannya,” katanya.

Salih yang juga popular menerusi program Ogy & Salih dan Usik Usik Salih Yaccob mengakui, ini perkahwinan keempatnya selepas mempunyai tiga isteri, Norliza Mamat, 46, Norahah Hamat, 40, dan Norfarawahida Sulaiman, 31.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url