Sejarah Hidup Nabi Muhammad SAW

Oleh ROOSFA HASHIM
Pensyarah Pusat Pengajian Umum, UKM

Hari ini umat Islam di seluruh pelosok dunia meraikan tarikh 12 Rabiulawal, iaitu tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW. Sungguhpun Baginda telah pergi meninggalkan umat yang dikasihinya lebih 1,500 tahun lalu, namun perasaan cinta dan kasih sayang seluruh umat Muslimin tidak akan berkurang.

Meskipun Baginda pernah menyatakan bahawa umat Islam yang ramai pada akhir zaman umpama buih akan berada dalam keadaan yang lemah namun jumlah yang tetap berpegang teguh pada ajarannya tetap ramai.

Usaha mendokumentasikan setiap kata-kata dan perbuatan Baginda oleh para pengumpul hadis telah menyelamatkan umat Islam dalam mentafsirkan kebanyakan maksud ayat al-Quran. Hadis dan sunah Nabi SAW kemudian menjadi sumber utama selepas al-Quran dalam menetapkan hukum Islam. Daripada catatan-catatan inilah kemudiannya lahir banyak buku yang menceritakan kisah hidup Rasulullah SAW.

Dapatlah dikatakan Nabi Muhammad SAW salah seorang tokoh dan pemimpin yang kisah hidupnya paling banyak diterbitkan. Biografi Baginda sentiasa terbit dalam bentuk dan edisi baru kerana selalu ada penulis kontemporari yang melihat ketokohan baginda dalam pelbagai konteks dan tafsiran yang baru.

Antara buku biografi baginda yang laris ialah Sejarah Hidup Muhammad karya Muhammad Husain Haekal. Karya Haekal ini dipuji oleh pelbagai pihak dan dapat dikatakan sebagai buku terpenting dalam era sekarang. Melalui biografi ini, memberikan gambaran dan wajah sebenar baginda Nabi Muhammad SAW yang kita sayangi sungguhpun kita tidak berpeluang menatap Baginda. Ulama Nusantara, Hamka dalam kata pengantar buku versi Indonesia yang asalnya sebuah artikel dalam Panji Masyarakat membuka buku ini dengan penuh bersemangat. Penulis Barat dan mereka yang terdidik di Barat dan terpengaruh dengan pemikiran para orientalis bila menulis tentang Nabi Muhammad SAW dan ini tidak berlaku bagi karya Haekal. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Versi bahasa Indonesia telah diulang cetak berpuluh kali. Bahkan teks penuh versi Indonesia dapat dibaca seluruhnya dalam Internet.

Haekal meletakkan kembali Nabi Muhammad SAW ke kedudukannya yang paling mulia. Bahagian pertama buku ini dimulai dengan penghuraian Haekal tentang bangsa Arab pra-Islam dengan menyajikan senario bangsa itu sebelum kelahiran Nabi yang dilanjutkan dengan membincangkan kedudukan Mekah, Kaabah dan kaum Quraisy.

Haekal kemudian melanjutkan penceritaannya tentang sejarah kehidupan Nabi SAW bermula dengan kisah kelahirannya hingga berkahwin, diangkat menjadi rasul, mengIslamkan Umar sehinggalah kepada suasana pemakaman Rasulullah SAW.

Kepandaian Haekal menulis telah dapat membangkitkan suasana yang menggambarkan pelbagai peristiwa bersejarah yang disajikannya dengan lengkap, indah, dan ilmiah. Kehebatan buku ini juga terletak pada pengalaman Haekal sendiri. Sejak muda Haekal menulis tentang pelbagai perkara dari politik kepada kritik sastera kepada biografi. Dari Cleopatra hinggalah kepada Mustafa Kamal di Turki, dari Shakespeare, Shelley, Anatole France, Taine hinggalah kepada Jean Jacques Rousseau dengan stail penulisannya yang memang sudah cukup dikenali.

Setelah mencecah usia setengah abad, Haekal menumpukan pula perhatiannya kepada Islam. Maka terhasillah dua buah karyanya yang sangat terkenal, Hayat Muhammad (Sejarah Hidup Muhammad) dan Di Lembah Wahyu.

Memang sebuah karya yang kontemporari cepat mengundang kemarahan masyarakat. Sejarah Hidup Muhammad dengan pantas menimbulkan reaksi hebat dan kritik tajam bangsa Mesir dan dunia Islam umumnya. Akan tetapi Haekal telah dapat menangkis kebanyakan kritikan terhadap biografi Muhammad ini.

Haekal dilahirkan di Kampung Kafr Ghanam, di Delta Nil, Mesir, 20 Ogos 1888. Begitu pun, tamat belajar mengaji Quran di madrasah kampungnya, beliau pindah ke Kaherah untuk memasuki sekolah rendah dan ke sekolah menengah hingga 1905. Haekal seterusnya menyambung pengajian undang-undang dan meneruskannya ke Fakulti Undang-undang di Universite de Paris, Perancis, hingga ke peringkat kedoktoran dalam bidang ekonomi dan politik. Pada 1909 beliau kemudian kembali ke Mesir dan bekerja sebagai peguam di Mansura, sebelum di Kaherah hingga tahun 1922.

Beliau aktif menulis semasa menjadi mahasiswa hinggalah apabila menjadi peguam dan tulisannya terbit dalam akhbar harian Al-Jarida, As-Sufur dan Al-Ahram. Tulisannya menyentuh isu sosial dan politik, di samping memberikan kuliah dalam bidang ekonomi dan undang-undang (1917-22). Haekal dipilih memimpin akhbar As-Siasa sebagai organ rasmi Parti Liberal dan aktif dalam bidang kewartawanan hingga tahun 1938.

Novelnya Zainab, berkisar tentang kehidupan petani Mesir, dihasilkannya semasa ia masih mahasiswa di Paris. Novel ini telah diadaptasi ke filem dan dikirim ke festival filem antarabangsa di Jerman (1952) dengan judul Die Liebesromanze der Zenab dan telah terpilih pula sebagai filem yang paling berjaya, dan mendapat jolokan sebagai "Egyptische Welturauffuhrung in Berlin".

Pada 1943 Haekal diangkat menjadi ketua Liberal Constitutional Party, yang disandangnya hingga 1952. Pada 1938 beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, kemudian Menteri Pendidikan dan Menteri Sosial. Pada permulaan tahun 1945 ia terpilih sebagai Speaker Senat hingga tahun 1950. Banyak kajian tentang Haekal dilakukan dan diterbitkan. Haekal kembali aktif menulis dalam akhbar Al-Mishri dan Al-Akhbar sejak 1953 hingga beliau meninggal pada 8 Disember 1956.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url