Guna pendekatan berhemah selesai isu PPSMI

Ramai yang kesal dengan insiden perarakan ke Istana Negara kelmarin. Perarakan membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) itu ternyata telah dipolitikkan.

Isu yang sepatutnya diselesaikan secara dialog, telah diheret ke jalanan. Tidak dapat dipastikan adakah kesemua yang terlibat dalam perarakan itu benar-benar faham apa yang 'diperjuangkan' atau sekadar ikut-ikutan.

Perarakan yang bertukar menjadi tidak terkawal itu sekali lagi memberi imej hitam pada negara. Ia mencetuskan reaksi segera banyak pihak. Ramai yang mendakwa isu itu telah dipergunakan oleh pihak berkepentingan. Dan, ada agenda lain yang tersembunyi di sebaliknya.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad mengambil sikap mudah. Beliau menuding jari pada pihak lain. Kekecohan mungkin didalangi pihak ketiga, katanya. Beliau berhujah bahawa pihaknya tidak merancang perarakan ke Istana Negara itu.

Persoalannya, kenapakah perkara itu tetap berlaku? Bolehkah GMP lepas tangan begitu sahaja? Adakah perjuangan GMP itu kini turut dirasuki sentimen perarakan jalanan seperti yang dipelopori oleh pembangkang?

Gambar-gambar yang dirakamkan mungkin boleh mengiyakan persoalan ini. Jelas terpampang pemimpin Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa turut bersekongkol. Perarakan itu bukan sekadar mendapat restu mereka malah mereka sendiri turut 'turun padang'.

Adakah sokongan pembangkang kepada gerakan itu tidak disedari oleh GMP? Atau Pas cuba merebut peluang pada setiap kesempatan yang ada. Sekurang-kurangnya boleh menarik simpati lebih ramai orang Melayu. Mungkin itu percaturan mereka.

Perarakan seperti itu tidak seharusnya mengambil tempat. Kita percaya walaupun tanpa perarakan, GMP pasti berjaya menyerahkan memorandum bantahan PPSMI kepada pihak Istana Negara. Ia boleh dilakukan tanpa sebarang provokasi. Hanya melalui pendekatan mudah secara berhemah.

Banyak lagi ruang yang boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan kemelut itu. Dialog adalah jalan terbaik. Kerajaan sendiri telah pun menyediakan pelbagai mekanisme untuk itu.

Malah, Kementerian Pelajaran sedang berusaha mengumpulkan semua data dan fakta berhubung PPSMI untuk dibentangkan ke mesyuarat Kabinet tidak lama lagi. Keputusan akhir akan diputuskan di peringkat Kabinet.

Yang pasti, tindakan tergopoh-gapah tidak akan menyelesaikan masalah. Tindakan secara berhemah lebih tepat untuk itu. PPSMI dilaksanakan pada 2003. Masih terlalu awal untuk diukur sama ada ia berkesan ataupun tidak. Perkara baru pasti tidak akan sempurna. Akan wujud kekurangan. Tetapi ia pasti boleh diatasi.

Jika pelajar luar bandar dibimbangi gagal menguasai kedua-dua mata pelajaran itu, masih ada jalan penyelesaiannya. Hantar sahaja guru-guru berkemahiran ke sana. Didik mereka dengan sebaik mungkin.

Pelaksanaan PPSMI perlu dilihat daripada sudut positif. Berasaskah kekhuatiran bahawa bahasa Melayu akan pupus dengan pelaksanaan PPSMI? Adakah PPSMI merupakan satu-satunya punca? Dan sekiranya PPSMI dihapuskan, adakah bahasa Melayu akan disemarakkan penggunaannya?

Paling penting demonstrasi jalanan bukan jawapannya. Jangan politikkan isu ini. Jangan ada pihak cuba menangguk di air keruh. Jangan tiba-tiba ada pihak muncul menjadi 'pejuang'.

Di mana 'pejuang' ini ketika Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Chong Eng menggesa kerajaan membenarkan penggunaan pelbagai bahasa termasuk Mandarin dalam urusan pentadbiran agensi kerajaan, minggu lalu.

Ketika itu, tiada seorangpun Ahli Parlimen pembangkang termasuk Pas sendiri yang menyuarakan bantahan. Mungkin bagi mereka, bahasa Melayu tidak akan lupus walaupun terpaksa bersaing dengan bahasa-bahasa lain jika diguna pakai dalam urusan kerajaan. Kita tidak mahu sikap double standard dalam soal ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url