Tabiat merokok dibenci Allah, Rasul
Hal ini kerana kandungannya dikatakan terdiri daripada bahan-bahan terlarang dan membahayakan kesihatan penghisapnya.
Menurut kaedah perundangan Islam sesuatu yang boleh membahayakan kesihatan manusia maka ia adalah dilarang.
Rokok seperti yang disebut dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 mendefinisikan rokok sebagai tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau lainnya.
Berdasarkan satu kajian Pusat Racun Negara USM, di dalam rokok mengandungi anggaran 4000 jenis racun, sebahagiannya amat toksik seperti sianid, arsenik, racun-racun makhluk perosak.
Dioksin juga boleh dihasilkan melalui penggunaan tembakau.
Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom (ketika itu), berkata, Selangor mengambil keputusan mengharamkan rokok itu selepas berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Kemudian keputusan mengharamkan rokok itu diwartakan mengikut Sub-seksyen 31(1) dan Seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989.
Jika fizikal rokok haram, maka menjual rokok juga adalah haram, membeli rokok adalah haram, dan menghisapnya juga haram.
Begitulah kaedah yang terdapat dalam Islam iaitu, “tidak sah jual beli bahan yang haram”.
Berdasarkan itu, berapa ramaikah umat Islam yang terlibat dengan perkara haram hanya melalui sebatang rokok sahaja. Tauke kedai, penjual (juru jual), pembeli, dan penghisap dalam kalangan umat Islam adalah dikenal pasti paling ramai.
Kalau begitu, sebahagian besar umat Islam di dunia ini terlibat dengan perkara haram tanpa kita sedar. Inilah barangkali mengapa doa umat Islam tidak dikabulkan Allah.
Mengikut statistik pada tahun 1989, rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM2 juta sehari untuk membeli rokok tanpa menghiraukan kesan merokok itu yang dikatakan membahayakan kesihatan.
Setiausaha Agung, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), N. Marimuthu (ketika itu), berkata, ini bermakna rakyat membelanjakan kira-kira RM720 juta (nilai pada masa itu) setahun untuk membeli rokok. Kalau nilai sekarang entah berapa kali ganda jumlahnya.
Menurut satu kenyataan mutakhir ini, hasil keuntungan penghasilan rokok Amerika Syarikat, sebahagian besarnya adalah untuk membantu Israel membangunkan negaranya termasuk memerangi Palestin.
Dikatakan satu hari diperuntukkan 10 juta dolar untuk Israel. Sudah pasti saham umat Islam yang menghisap rokok itu telah dimasukkan di dalamnya tampa kita sedari.
Jika umat Islam sedar akan penglibatan saham mereka dalam membantu Israel bagi memerangi Palestin, mahukah kita menghisap rokok lagi? Bayangkan, jika kita masih mengabaikan hukum haram fizikal rokok itu, apakah dalam soal memberi saham kepada Israel masih hendak diabaikan? Hanya iman sahaja yang boleh merubah segala kehendak hati dan perasaan yang masih dikuasai nafsu.
Selain fizikal rokok, kita perlu juga melihat kepada tabiat perokok yang secara sepintas lalu boleh dinilai sebagai terkeluar dari adab sopan seorang Islam.
Maknanya selain perbuatan merokok itu haram, tabiat perokok adalah dibenci Allah kerana beberapa tabiat buruknya.
Antara tabiat buruk perokok ialah:1. Merokok sambil berjalan yang pastinya berdiri.2. Menghembus asapnya di hadapan orang lain sama ada perokok sepertinya atau yang tidak merokok.3. Merokok sambil berbual perkara yang melalaikan.4. Perokok sanggup merokok di dalam tandas.5. Perokok tidak tahu menghormati orang lain yang tidak merokok.6. Perokok sengaja membazirkan wang untuk membeli barangan haram.
Biasanya mereka yang merokok tidak sedar bahawa semua itu melanggar tatasusila sebagai seorang Islam. Tetapi kalau seseorang itu mahu bertanya pandangan orang lain terhadapnya, pasti ada jawapan yang ikhlas daripada mereka.
Dalam hal ini jika umat Islam merenung hukum di atas dan melihat kepada perbelanjaan yang menguntungkan musuh Islam dan ditambah pula dengan tabiat buruk di atas, mahukah anda terus merokok? Tepuk dada tanya selera, tanya iman di dada.
Sebenarnya sudah terbukti, kebanyakan perokok boleh meninggalkan tabiat merokok apabila mereka telah mengidap penyakit itupun setelah dinasihatkan doktor. Jika tidak mereka akan terus menghisap walaupun setelah mengetahui hukum dan perkara yang disebut di atas.
Perlu dijelaskan di sini, sesiapa yang meninggalkan tabiat merokok kerana sakit atas nasihat doktor, tindakannya tidak beroleh pahala kecuali sekadar kesihatan yang agak baik di dunia ini.
Dalam hal ini terlalu jarang kita dengar perokok meninggalkan tabiat merokok kerana sedar perintah dan larangan Allah.
Jarang kita dengar perokok meninggalkan rokok kerana tidak mahu kompromi dengan musuh Islam. Perokok juga tidak akan meninggalkan rokok kerana mengelak pembaziran dan meninggalkan tabiat buruk yang dibenci Allah.
Kalau umat Islam boleh tinggalkan merokok kerana Allah dan sebab-sebab selain nasihat doktor pasti mereka akan diberi pahala.
Untuk ini kepada perokok saya ingin cadangkan supaya anda bayangkan rokok yang akan diletakkan pada bibir anda itu benda haram sama seperti babi.
Pasti anda tidak mampu untuk menghisapnya. Kalau itupun anda tidak sanggup, tiada siapa yang boleh mengubah anda.
- MSTAR