TTI perkenal pelayaran susuri Sungai Terengganu

Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man di sini yang menempatkan lebih 20 replika seni bina dunia Islam, kini mempunyai tarikan baru apabila memperkenalkan perkhidmatan river cruise menyusuri Sungai Terengganu.

Pengurus Besar TTI, Mohd. Khomsa Chik berkata, perkhidmatan yang mula beroperasi empat hari lepas itu adalah bagi membawa pengunjung menyusuri Sungai Terengganu, mengelilingi Pulau Duyong dan kampung sekitarnya sejauh kira-kira 2.5 kilometer.

"Perkhidmatan ini yang menggunakan lima buah bot pelbagai jenis, mengambil masa perjalanan selama satu jam 15 minit. Sejak mula beroperasi, sambutannya menggalakkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap penumpang dikenakan bayaran RM10 dan pihaknya bercadang untuk menambah bot berkenaan pada masa akan datang.

Selain perkhidmatan river cruise, Mohd. Khomsa berkata, lapan buah bot turut disediakan di kawasan tasik buatan di pulau berkenaan yang sudah pun beroperasi.

Beliau berkata, turut dirancang ialah penyediaan perkhidmatan bot bertingkat untuk dijadikan sebagai 'bot makan bergerak', yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM1 juta, tidak lama lagi.

Katanya, TTI juga menyediakan empat unit penginapan desa dengan setiap sebuah mengandungi tiga bilik yang mampu memuatkan lapan orang bagi setiap unit.

Bagi pembangunan TTI fasa kedua, Mohd. Khomsa berkata, pihaknya merancang membina apartmen serta hotel di kawasan pulau itu bagi menampung keperluan tempat penginapan di bandar Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sejak TTI dibuka kepada pengunjung Februari tahun lepas, kira-kira dua juta pelancong telah mengunjunginya termasuk 400,000 pelancong yang melawat lebih 20 replika seni bina dunia Islam itu.

- BERNAMA
www.bernama.com
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url