Top Ad 728x90

, ,

UMNO akan berubah - Najib

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan janji beliau untuk melakukan beberapa perubahan besar dalam parti bagi memastikan kelangsungan berterusan UMNO pada masa hadapan.

Antaranya ialah mengubah sistem pemilihan parti dengan hak menentukan kepimpinan tertinggi UMNO tidak lagi terletak di tangan kira-kira 2,600 perwakilan semata-mata.

Menurut beliau, kuasa memilih akan berpindah ke tangan 60,000 ahli pada peringkat bahagian dengan mesyuarat kesemua 191 bahagian di seluruh negara diadakan secara serentak.

"Banyak yang berpendapat bilangan 2,600 perwakilan ini tidak mencerminkan kehendak dan aspirasi tiga juta ahli UMNO.

"Ada juga yang khuatir jumlah yang kecil ini bukan sahaja nama mereka kita hafal, muka kita ingat dan nombor telefon pun kita tahu. Salam pun ada. Ada yang kata, salam SK (salam kosong) dan ada yang kata salam SI (salam isi)," katanya dalam ucapan penerimaan jawatan Presiden dan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO Ke-59.

Kenyataan beliau itu disambut dengan tepukan gemuruh para perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Najib berkata, prasarana untuk membolehkan kesemua 191 bahagian bersidang serentak boleh dibina dalam zaman moden ini.

Katanya, proses pemilihan UMNO yang berintegriti adalah jalinan kelangsungan kuasa UMNO sebagai parti yang berdaulat.

"Selagi proses ini tercemar, selama itulah orang akan hilang kepercayaan kepada UMNO," katanya.

Najib juga menjanjikan satu lagi perubahan yang drastik apabila mahu sistem kuota dirombak dan diturunkan ke satu tahap yang boleh dikatakan sebagai munasabah.

"Saya tidak mahu berselindung di belakang kouta untuk menjadi Presiden UMNO," katanya.

Namun, kata beliau, sistem kuota tidak boleh dihapuskan sepenuhnya bagi mengelakkan mana-mana 'pelawak' tampil menawarkan diri bertanding jawatan-jawatan tertinggi parti.

Katanya, bilangan 58 pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden parti umpamanya adalah terlalu tinggi dan tidak mungkin dicapai.

"Hendak tanding Naib Presiden pula perlukan 20 pencalonan, katakan hanya dapat 19 sahaja, mahu melilau nak cari satu lagi," jelasnya.

Perkara lain yang akan turut disemak, kata beliau, ialah penubuhan sebuah jawatankuasa khas untuk berbincang dengan bahagian-bahagian UMNO seluruh negara.

"Kita akan dapat pendapat, cadangan daripada bahagian kemudian MT akan rumuskan dan membuat cadangan," katanya.

Katanya, Perhimpunan Agung UMNO untuk tahun ini akan menjadi Perhimpunan Agung Khas bagi melakukan pindaan perlembagaan bagi perubahan-perubahan tersebut.

"Persidangan tahun ini adalah persidangan tahun sudah. Jadi kita kena bersidang sekali lagi, marilah kita gunakan kesempatan itu untuk meminda Perlembagaan UMNO supaya UMNO menjadi parti yang lebih dihormati oleh rakyat," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keperluan perubahan-perubahan itu, Najib berkata, UMNO perlu mengambil iktibar daripada isyarat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

"Sebab itu, sayalah antara pemimpin pertama yang telah mengungkapkan berubah sebelum diubah dan berubah sebelum kita rebah.

"Saya tetap yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti yang merupakan pilihan utama orang Melayu. Mereka tidak menolak UMNO, sebenarnya mereka mahu UMNO berubah," katanya.

Beliau menzahirkan keyakinan UMNO akan kembali kuat di hati orang Melayu apabila segala perubahan yang dirancang menjadi kenyataan.

Sementara itu, pada sidang akhbar, Najib berkata, melalui kaedah mesyuarat serentak seluruh negara yang dirancang itu, adalah diyakini masalah politik wang dalam parti akan dapat dibanteras.

"Daripada itu, pemantauan dan tindakan punitive (hukuman) akan mewujudkan mekanisme memantau dari segi salah guna kuasa dan politik wang, namun dengan perubahan perlembagaan jika diluluskan nanti akan jadi satu sejarah baru dalam proses pemilihan UMNO yang lebih berintegriti," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90