16 Toyota Camry jadi rebutan

Umpama 'pisang goreng panas'. Itu sambutan orang ramai sebaik sahaja berita kerajaan negeri akan melelong semua 16 kereta rasmi Toyota Camry diketahui umum sejak semalam.

Walaupun tawaran tender untuk menjual kenderaan berkenaan hanya dibuka pada 4 Mei ini, ramai sudah menyatakan minat untuk membeli kereta itu dengan harga menarik.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim bahawa banyak pertanyaan mengenai harga kereta tersebut diterima pagi ini.

''Bagaimanapun, kita akan tawarkan kepada pembida tertinggi kerana ini ialah tender terbuka," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kerajaan negeri Perak akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry yang digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan pakatan pembangkang sebelum ini pada harga rizab RM148,000 sebuah.

Lelongan tersebut akan dibuat di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini dari pukul 9.30 pagi hingga 4 petang dari 4 Mei hingga 18 Mei ini.

Dalam pada itu, Zambry mengesahkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin diberi keutamaan untuk membeli kereta rasmi AGS 10 yang digunakan beliau semasa menjadi Menteri Besar Perak.

Kata beliau, bekas Menteri Besar itu juga sudah menyatakan hasrat untuk membida kereta yang masih digunakannya itu.

''Walaupun jika ada pembida lebih tinggi, kita akan beri keutamaan kepada Mohammad Nizar sebab kita ambil kira kedudukannya sebagai bekas Menteri Besar kerana ini dasar kita," katanya.

Sementara itu, Zambry mengumumkan bahawa, kerajaan negeri sudah membuat keputusan untuk kembali menggunakan kereta Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi.

''Kita akan beli mengikut keperluan dan kita jangka dapat kereta Proton Perdana baru pada harga murah dari Proton," katanya.

Beliau juga memberitahu, kerajaan negeri mengambil kira kos penyelenggaraan kereta tersebut yang dikatakan agak mahal dan akan mengadakan perbincangan khas dengan Proton mengenainya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url