Hormati hak milik harta intelek

Kanak-kanak perlu diterapkan budaya menghormati hak milik harta intelek orang lain bagi memastikan idea pihak tertentu tidak diciplak dan dijadikan idea sendiri.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, langkah itu perlu dipandang serius terutama di kalangan kanak-kanak supaya sikap hormat-menghormati itu akan terus dibawa sehingga dewasa.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa harus memainkan peranan yang penting dalam memberi pendedahan kepada anak-anak supaya menghargai hasil karya pihak-pihak tertentu.

"Antara kaedah yang boleh diajar kepada kanak-kanak ini ialah memberi penghargaan dan mencatat nama pengarang serta judul karya yang dibaca.

"Dengan cara itu kanak-kanak akan tahu menghargai hasil karya orang lain malah akan memberi manfaat kepada mereka kelak," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Alimuddin berkata, idea dalam bentuk teks sumbangan penulis merupakan kerja intelektual yang besar kerana ia melibatkan aktiviti minda dan emosi seseorang individu.

Pengarang atau penulis, jelasnya, banyak menghabiskan masa mereka dengan memeras otak untuk menjadikan sebuah karya yang baik.

"Kerja intelektual itu sebenarnya amat meletihkan tetapi ia satu kepuasan dalaman yang dinikmati oleh penulis itu sendiri.

"Justeru, dalam konteks ini, hak cipta pengarang perlu dihormati lantas wajar disambut secara besar-besaran seperti hari ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, industri buku negara perlu ditingkatkan kerana dalam perangkaan 2004 hanya 10,310 judul buku didaftarkan di negara ini berbanding 180,000 judul di China, 116,000 (United Kingdom), 60,000 (Amerika Syarikat) dan 45,000 (India).

Alimuddin menjelaskan, untuk maju dari segi intelek, negara perlu menerbitkan banyak buku seperti Jepun yang menerbitkan ratusan ribu buku setahun.

"Industri ini perlu ditangani segera secara kreatif dan inovatif dengan menjual hak cipta karya, ilustrator dan terjemahan ke bahasa asing supaya negara diangkat ke peringkat global," jelas beliau.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url