Top Ad 728x90

Anuar tunaikan janji


Pelumba sensasi negara, Anuar Manan telah mengotakan janjinya.

Semalam, Anuar melakar hatrik dengan meraih gelaran Raja Pecut (Jersi Hijau) pada Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Malaysia 2009 (JM'09).

Selepas mengharumkan nama pasukan benua negara, LeTua Cycling Team dengan meraih gelaran Raja Pecut untuk dua tahun berturut-turut sebelum ini, semalam Anuar membawa keceriaan buat pasukan barunya, Azad University Continental Team.

"Pertama sekali, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya sejak awal hingga akhir perlumbaan ini.

"Tidak dilupakan juga pihak penganjur JM'09 (Ten Speed Events Sdn. Bhd.) kerana telah banyak menaikkan nama saya sehingga saya mencapai kejayaan seperti sekarang.

"Saya gembira kerana dapat mengekalkan Jersi Hijau selaku Raja Pecut buat tahun ketiga berturut-turut. Ini adalah detik yang cukup menggembirakan dalam karier saya," kata Anuar pada sidang media semalam.

Jika dinilai, kejayaan yang dilakar Anuar tidak dicapai dengan mudah kerana dia terpaksa mengesahkan gelaran selaku Raja Pecut pada peringkat terakhir JM'09 yang berakhir dengan acara kriterium (12 pusingan) di Dataran Merdeka semalam.

Sebelum acara kriterium, Anuar berada di tangga ketiga keseluruhan dalam pemburuan Jersi Hijau apabila dia ketinggalan lima mata di belakang pendahuluan, Mohd. Nor Rizuan Zainal daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia.

Bagaimanapun, 10 mata yang dikutip pada zon pecutan pertama (pusingan ketiga) dan kedua (pusingan keenam) semalam membolehkan pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu mengumpul keseluruhan 29 mata manakala Nor Rizuan kekal dengan 24 mata.

Anuar gagal mengutip mata pada zon pecutan ketiga (pusingan kesembilan) selepas mengalami tayar pancit ketika saingan memasuki pusingan kesepuluh.

"Selain gembira dengan kejayaan meraih gelaran Raja Pecut buat tahun ketiga, saya juga berpuas hati dengan kejayaan saya memenangi dua peringkat perlumbaan pada JM'09.

"Secara keseluruhannya, pasukan saya telah memenangi empat peringkat perlumbaan tahun ini dan ia satu keputusan yang membanggakan," tambah pelumba berusia 23 tahun itu.

Mengulas mengenai sasaran utamanya selepas kejayaan pada JM'09, Anuar menjawab: "Saya mahu memberi tumpuan pada Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

"Pada LTdL tahun ini, saya gagal mencapai keputusan yangmembanggakan. Jadi dengan kejayaan pada JM'09, ia telah membangkitkan semangat saya untuk kembali melakar kejayaan lebih gemilang pada LTdL tahun depan.

"Diharapkan saya dapat sekurang-kurangnya memenangi satu peringkat perlumbaan dan meraih Jersi Hijau pada LTdL tahun depan," kata Anuar yang mengikat kontrak dengan Azad University Continental Team sehingga hujung tahun ini.

Selain Anuar, Azad University Continental Team mempertaruhkan Raja Bukit Jelajah Indonesia, Amir Zargari pada kejohanan tahun ini.

Turut membarisi pasukan yang berpangkalan di Iran itu ialah seorang lagi pakar pecut, Hossien Nateghi selain Abbas Saeiditanha dan Hamid Shiriseysan.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90