Berniaga dan dakwah bergerak seiring
NABI SAW amat menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan. Ini digambarkan menerusi sarananya dalam sebuah hadis yang begitu popular yang bermaksud, sembilan daripada 10 punca rezeki itu, datangnya daripada perniagaan.
Malah sebahagian kehidupan Rasulullah SAW itu telah dihabiskan dalam perniagaan iaitu seawal usia baginda 12 tahun. Dalam kata lain, perniagaan itu amat disarankan atau suatu yang disyariatkan di dalam Islam apatah lagi, ia banyak disebutkan di dalam al-Quran dan hadis.
Allah berfirman yang bermaksud: Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kejayaan. (al-Jumuah: 10).
Sementara sabda Rasulullah SAW: "Peniaga yang benar lagi beramanah digolongkan bersama para Nabi, para siddiqun dan syuhada". (riwayat at-Tirmizi)
Sayangnya, apabila disebut berniaga, kita lebih membayangkan kepada orang Cina atau bangsa asing yang bukannya beragama Islam. Namun dalam kita sedar ataupun tidak, sebenarnya, Islam itu sinonim dengan perniagaan.
Pendakwah bebas, Fauzi Mustafa berkata, Rasulullah sendiri keluar berniaga seawal usia 12 tahun mengikut bapa saudaranya melakukan urusniaga sehingga ke negara Syam.
"Seharusnya kita mencontohi, bagaimana cara orang Cina menerapkan minat berniaga itu di kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi. Sedihnya, perkara seumpama ini tidak berlaku dalam budaya orang Melayu kita," katanya.
Kata Fauzi, jadi memang orang Melayu ini sinonim dengan berniaga, lebih-lebih lagi kemakmuran negeri Melaka dahulunya juga adalah menjurus kepada aspek perniagaan sehingga ia muncul sebagai sebuah pusat perniagaan yang cukup terkenal seantero dunia.
"Boleh dikatakan, para pedagang dari seluruh dunia datang berniaga di pelabuhan Melaka, termasuklah perdagang-pedagang yang beragama Islam, ketika itu.
"Malah akhirnya kita menerima Islam menerusi perniagaan. Sebab itulah juga Islam adalah agama dakwah. Kedua-dua ini bergerak seiring," jelas Fauzi pada forum Etika Peniaga Muslim bersempena dengan pelancaran produk D'Hati Ku keluaran Darul Fuqaha Enterprise di Hotel De Palma, Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Tambah Fauzi, dalam konteks sekarang, apabila sebut peniaga Muslim, mereka tidak dapat lari daripada berperanan sebagai seorang pendakwah. Sayangnya, ada sebilangan peniaga Muslim hari ini tidak menggambarkan diri seorang Islam, apa lagi untuk berdakwah kepada orang lain.
Malah tegas beliau, Imam Ghazali ada menyatakan bahawa, penghalang antara manusia dengan tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki. Di mana, tidak sempurna urusannya dengan Allah disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki.
Contohnya, sanggup meninggalkan solat sebab takut rugi, tidak menjaga kebersihan sungguhpun agama Islam amat menekankan aspek kebersihan, soal halal haram, penipuan, adab berdoa diabaikan, tidak menjaga akhlak Muslim serta banyak lagi.
Dikeruhkan pula dalam kita berhadapan dengan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu. Secara tidak langsung para peniaga Muslim turut menghadapi pelbagai cabaran seperti peningkatan kos operasi, penguncupan prestasi jualan serta pengawalan kemudahan kredit institusi perbankan.
Lantaran itu, ada di kalangan peniaga yang sanggup menaikkan harga barang, menyembunyikan barang supaya harganya naik, ada pula yang mencampuradukkan barang yang elok dengan yang tidak elok, barang lama dengan barang yang baru. Ditambah lagi apabila menipu dalam timbangan. Kesemua ini adalah haram dalam Islam dan terkeluar daripada etika peniaga yang digariskan oleh syariat Islam.
Inovasi dan kreatif
Seharusnya dalam konteks dunia moden ini, kata Fauzi, umat Islam perlu inovasi dan kreatif untuk melariskan produk seperti dari segi pembungkusan produk, pengiklanan dan strategi pemasaran. Malah, mereka juga harus berani mengambil risiko.
"Peniaga Muslim juga mesti mempunyai sifat percaya kepada diri sendiri dan jangan dengar cakap orang kerana ia tidak membawa kita ke mana, sebagaimana pengajaran yang diambil dari kisah Johar dan anak lelakinya bersama seekor keldai," tambahnya.
Selain itu, ciri lain yang perlu ada dalam diri para peniaga Muslim ialah mesti sanggup bekerja kuat, ada perancangan jangka pendek dan panjang, mempunyai matlamat yang jelas dan selaras dengan syarak.
Hubungan dengan pelanggan mestilah dijaga, berlaku jujur dan menerima kritikan pelanggan seadanya.
Tegas Fauzi lagi, kaedah sedemikian mampu menjadikan peniaga Muslim lebih berdaya saing serta maju walaupun menghadapi persekitaran pasaran yang lebih mencabar.
Seterusnya kekuatan ekonomi ummah diharapkan dapat terus berkembang, di samping aplikasi sistem ekonomi Islam dapat diperluaskan.
Apa yang penting kata beliau lagi, umat Islam perlu berusaha mencari rezeki yang halal dan jangan pula suka meminta-minta. Hayatilah sabda Rasulullah: Tidak seseorang itu makan daripada makanan yang lebih baik daripada yang diusahakannya sendiri. Ketahuilah sesungguhnya Nabi Daud itu beroleh makanan hasil usahanya sendiri. (riwayat Bukhari)
Menyentuh tentang bagaimana cara untuk memperoleh keberkatan daripada perniagaan, akui Fauzi, matlamat perniagaan ialah untuk memperoleh keuntungan. Pun begitu, soal berkaitan keberkatan jangan sekali-kali diketepikan atau dipandang remeh.
"Berkat lawannya laknat, jadi apa guna keuntungan yang banyak tetapi dilaknat.
"Oleh itu, aspek keberkatan ini sangat penting. Dalam berniaga yang paling penting ialah menjaga hubungan kita dengan Allah kemudian baru diikuti menjaga hubungan kita dengan manusia. Ini kerana keuntungan itu datangnya daripada Allah. Malah yang membuka pintu hati orang untuk menyukai kita dan produk kita ialah Allah SWT," jelas beliau.
Oleh itu, yang dimaksudkan menjaga hubungan dengan Allah itu ialah, pertama mestilah menjaga solat. Biarlah berniaga seperti Abdul Rahman bin Auf, peniaga paling berjaya tetapi tidak pernah tinggalkan solat berjemaah.
Kedua, al-Quran tidak pernah ditinggalkan serta mulut sentiasa berzikir, sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat. Umar al-Khattab ada menyebut: "Aku hendak mati ketika jihad fisabilillah dan kalau tidak dapat, aku mahu mati ketika sedang berniaga".
Ketiga, melaksanakan zakat perniagaan kerana di dalam harta kita itu ada hak orang lain. Kalau syarikat maju pun, dia akan menjadi liat atau malas untuk mendirikan solat, apatah lagi menjejakkan kaki ke masjid atau surau.
Keempat, jangan lupa rumah Allah iaitu ialah dengan menghulurkan derma sumbangan.
Kelima, bercakap benar dan tidak menyorok sesuatu yang tidak baik sama ada tentang produk atau kualiti barang yang dijual itu.
Keenam, tidak lupa menyumbang atau berbakti kepada ibu bapa sekiranya mereka masih hidup.
Ketujuh, sentiasa berdoa, ini kerana bidang perniagaan memang terdedah dengan banyak perkara yang mendatangkan mudarat terutamanya dari segi melakukan penipuan dan banyak salah laku yang lain.
Mengenai sikap hasad dengki dan penggunaan ilmu hitam yang selalu ada dalam perniagaan orang Melayu, kata Fauzi, perbuatan itu bukan sahaja merugikan tetapi adalah berdosa. Nabi menjelaskan yang bermaksud: "Jauhilah kamu daripada hasad dengki kerana ia akan makan amalan kita seperti api memakan kayu api".
Seorang lagi ahli panel, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Zulkifli Mohd. Al-Bakri menjelaskan, ahli perniagaan juga secara tidak langsung menjadi juru bicara dakwah Islam.
Sejarah kemasukan Islam ke Melaka dan kebanyakan negeri adalah melalui pedagang-pedagang kerana mereka ini mempamerkan sifat dan watak.
Bahkan kata beliau, Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Allah beri rahmat kepada seorang yang apabila menjual barang dengan sifat toleransi."
Maka sifat semacam inilah yang menyebabkan masyarakat akan ada jalinan dan jaringan hubungan di antara satu sama lain. Jelas terbukti di sini, dengan akhlak, watak dan sifat peniaga itu memang boleh mempengaruhi dan boleh menjadi juru bicara dakwah Islamiah kepada sesama Islam dan bukan Islam.
Seperkara yang turut dijelaskan Zulkifli ialah lumrah manusia khususnya yang terlibat dalam dunia perniagaan, kadang-kadang mengalami untung dan ada ketikanya kerugian.
Kata beliau, kaedahnya mudah, ketika memperoleh keuntungan, mestilah bersyukur manakala bersabar apabila menghadapi kerugian.
Berjaya
"Namun apa yang paling perlu ialah bagaimana untuk mempertahankannya? Menurut kata pepatah Arab, nikmat-nikmat ini dia adalah seperti binatang buruan, kamu tambat atau ikat dia dengan kesyukuran kepada Allah SWT. Jadi peniaga yang baik dan yang berjaya di dalam perniagaan, sekurang-kurangnya sifat mahmudah dipamerkan dan sifat mazmumah dibuangkan.
"Kemudian kalau kita tengok, mereka yang berjaya ini, mereka bukannya statik di satu tahap sahaja. Perangai manusia ini, dia ada sifat cepat bosan. Jadi dengan sebab itu, adalah perlu menggunakan pelbagai teknik dan cara untuk mencapai kemajuan, sama ada dalam kehidupan mahupun kerjaya.
"Begitu juga dalam perniagaan, para peniaga disaran agar sentiasa menambah ilmu perniagaan di samping mengambil contoh kejayaan mereka yang terdahulu supaya boleh dijadikan contoh teladan atau role model," kata Zulkifli menegaskan perangai buruk yang dibawa oleh peniaga Muslim seperti memungkiri janji, menipu telah menyebabkan imej Islam itu sendiri tercalar.
Seterusnya tambah beliau, sebaik-baik bagi orang yang berniaga, hubungan dengan Allah SWT mestilah dijaga walau dalam apa keadaan sekalipun. Dengan sebab kita menjaga hubungan dengan Allah maka di situ ada unsur barakah.
"Bila rezeki yang kita peroleh itu berkat dalam kehidupan manusia, maka pada masa itu, ia akan sentiasa mendapat pemeliharaan Allah SWT dan dia bukan semakin kurang tetapi semakin maju. Ini ditegaskan dalam janji Allah yang bermaksud: "Kalau kamu bersyukur, nescaya Allah akan tambah kepada kamu," jelas beliau.
Zulkifli turut menjelaskan kelebihan orang berniaga ialah keyakinan mereka kepada Allah amat kuat (tawakal) berbanding yang makan gaji. Kerana itulah, peniaga Islam pergantungan mestilah kepada Allah SWT yang mentakdirkan kejayaan dan keuntungan dalam perniagaan hanya Allah.
Keyakinan yang mutlak dengan rezeki yang ditentukan Allah SWT. sewajarnya menjadi dasar dalam perniagaan. Di samping mempercayai bahawa kejayaan seorang peniaga adalah bergantung kepada usahanya, tawakal yang disertakan dengan keazaman yang tinggi serta memelihara akhlak sebagai seorang peniaga Muslim dengan mencontohi sunah dan etika peniaga yang berjaya.
Hayati ayat Allah yang bermaksud: Dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (al-Talaq: 3).
Produk terbaru
Sempena program itu, Darul Fuqaha Enterprise turut melancarkan produk terbaru dan keempat mereka iaitu D' Hati Ku Kopi Goji serta meraikan para stokis dan pengedar mereka dari seluruh Semenanjung Malaysia dalam suasana serba sederhana dan penuh berilmu.
Menurut Pengerusi Eksekutif Darul Fuqaha Enterprise, Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri, beliau bersyukur kerana meskipun belum sampai tiga bulan berada di pasaran, tiga produk yang terawal dihasilkan iaitu Jus Kecantikan dan Kesihatan D' Hati Ku, Jus UntukMu Puteri dan Kismis Doa Fuqaha telah mendapat sambutan yang boleh dibanggakan.
"Kita selalu terlupa betapa soal pemakanan itu mempunyai pengaruh yang cukup kuat di dalam pembentukan peribadi seseorang itu.
" Lantaran itu, sebagai seorang pendakwah, saya selalu berhasrat dan bercita-cita untuk menyumbang kepada ummah terutamanya dalam melahirkan umat Islam yang mempunyai jati diri Muslim yang soleh dan bertakwa. Lantas, menerusi makananlah yang perlu ditekankan," katanya.
Mohd. Khairuddin berkata, D' Hati Ku adalah satu produk yang dibuat berpegang kepada dua prinsip.
Pertama, halal bentuk fizikal dan kedua dari sudut spiritual dan kesannya ialah kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Penghasilan produk itu juga mematuhi Amalan Pengilangan Islam yang diasaskan oleh Tajuddin Arshad.