Bukan Melayu undi Pakatan Rakyat

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN

Pengundi sudah pun membuat pilihan. Walaupun sukar untuk diterima oleh pihak yang kalah tetapi itulah keputusannya.

Calon anak tempatan yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian gagal menyaingi populariti calon Pas, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin - yang menjadi Menteri Besar Perak selama 11 bulan.

Taktik pembangkang melepaskan peluru penabur di saat-saat akhir dengan mensasarkan serangan peribadi kepada Ismail pada malam sebelum pengundian - sehingga tidak memberi peluang kepada beliau untuk membela diri - sedikit-sebanyak memberi kesan kepada pengundi Melayu atas pagar di kawasan Parlimen ini.

Dan seperti disebut-sebut sepanjang kempen pilihan raya kecil ini, pengundi Cina menjadi penentu apabila mereka beramai-ramai keluar mengundi untuk memberi sokongan kepada Mohammad Nizar yang menjadi calon pilihan DAP sejak awal-awal lagi.

Ternyata pendekatan populis yang diambil oleh Mohammad Nizar sepanjang menerajui kerajaan negeri mendapat sokongan pengundi Cina yang meliputi 27 peratus daripada keseluruhan 56,462 pemilih berdaftar.

Walaupun perkembangan dua tiga hari sebelum tarikh pengundian menunjukkan seolah-olah angin perubahan telah melanda kem BN khususnya kalangan masyarakat Cina tetapi realitinya tidak begitu.

Disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di Taiping. Bandar warisan tempat penjumlahan undi bagi pilihan raya kecil P059 ini memang hujan setiap hari.

Sambutan hangat kepada program yang dihadiri Pengarah Pilihan Raya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Sepetang, tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang yang mempunyai 6,276 orang atau 31.8 peratus pemilih berdaftar kaum Cina mencatatkan jumlah keluar mengundi tertinggi semalam iaitu sebanyak 15,411 pengundi atau 78.14 peratus. Dan di situ sahaja, BN kalah dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Ini bermakna BN mengalami majoriti kekalahan lebih 100 peratus berbanding majoriti kemenangan pembangkang di DUN itu pada pilihan raya umum lalu yang hanya 564 undi.

BN juga kalah dalam DUN Changkat Jering yang mencatat peratusan keluar mengundi 73.79 peratus atau 18,418 pengundi.

BN hanya menang di DUN Trong - daerah terbesar dengan jumlah pengundi terkecil iaitu 10,796 orang. Itupun dengan majoriti tidak sampai 1,000 undi daripada 7,928 orang atau 73.8 peratus yang keluar mengundi.

Keseluruhannya 41,757 orang atau 75.34 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil ini, pertambahan 2.69 peratus berbanding 72.65 peratus atau 40,299 orang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Dan seperti yang sudah diketahui umum, calon Pas yang mendapat sokongan 100 peratus daripada parti pakatan pembangkang DAP dan PKR, menang dengan majoriti 2,789 undi iaitu pertambahan 1,223 undi berbanding pilihan raya umum tahun lalu.

Pada PRU-12, calon BN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi kalah majoriti 1,566 undi kepada calon Pas, Roslan Shaharum yang memperoleh 20,015 undi. Calon Bebas, Morgan mendapat 872 undi.

Analisis daripada kekalahan BN di Bukit Gantang, satu faktor patut menjadi renungan BN khususnya parti-parti komponen - MCA dan Gerakan - bahawa majoriti pengundi Cina tidak memihak kepada mereka lagi.

Namun tentulah tidak adil untuk meletakkan kesalahan 100 peratus kepada kedua-dua parti itu sahaja. Hanya persoalannya, ke mana undi para penyokong BN yang kecewa dengan fenomena pada 2008 dan dikatakan sudah kembali menyokong BN.

Keputusan BN untuk melantik badan bebas melakukan bedah siasat punca kekalahan parti itu adalah langkah yang tepat.

"Walaupun kita bekerja keras dengan turun ke bawah memberi penjelasan kepada pengundi tetapi tidak berjaya meyakinkan mereka untuk menerima kita," katanya sebagai reaksi terhadap kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Mungkin BN memerlukan badan bebas untuk memberikan jawapan lebih telus tanpa berselindung tentang sebab-sebab kekalahan parti itu. Apakah isu yang sebenarnya sehingga BN tidak mendapat sokongan pengundi malah dengan kadar yang merosot daripada pilihan raya umum lalu? Dan apa lagi yang dimahukan oleh pengundi bukan Melayu daripada BN?

Bagaimanapun seperti yang dipersetujui sendiri oleh Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya Pas Perak, Asmuni Awi pada sidang akhbar harian di markas parti itu pada awal-awal kempen, keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang bukan satu referendum rakyat.

Ia tidak boleh dijadikan cerminan pendirian seluruh rakyat Perak terhadap kerajaan negeri BN, apatah lagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru berusia lima hari.

Seperti kata Muhyiddin, gagasan yang dibawa oleh Najib masih terlalu baru untuk diserap oleh rakyat di negeri ini. Tambahan pula rakyat Perak masih keliru dengan krisis kerajaan negeri yang berlarutan sejak hujung tahun lalu.

Menjadi adat bertanding. Ada menang dan ada yang kalah. Tetapi yang menang tidaklah boleh mendabik dada bahawa mereka menang kesemuanya.

Bagi BN yang kalah, masih ada harapan untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada parti tersebut. Pilihan raya adalah satu proses demokrasi.

PRU Ke-13 masih jauh lagi. Najib bersama saf kepimpinan baru yang bakal diumumkan nanti mempunyai masa untuk meyakinkan rakyat agar mempercayai konsep 'parti, rakyat, kerajaan' serta gagasan 'Satu Malaysia' yang menjanjikan kestabilan dan kemakmuran kepada negara.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url