Bila media jadi 'penyebar perpecahan rakyat'

8 MAC 2008 menyaksikan rakyat Malaysia telah meletakkan satu batu asas penting di dalam sejarah sosio-politik negara: penolakan ke atas politik perkauman sempit. Ini bersesuaian sekali dengan iltizam Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lewat Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafazkan beliau tatkala laungan merdeka bergema di udara pada pagi 31 Ogos 1957.

Tanah Melayu (kini Malaysia)akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa..

Semangat dan roh perpaduan ini jelas sekali melangkaui sempadan ras dan agama. Integrasi sosial adalah sesuatu yang luhur dan perlu dibentuk melalui perpaduan dan persefahaman yang utuh di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

Seruan sebuah akhbar Melayu melalui siaran 15 April 2009 antara lain menyeru agar bangsa Melayu bersatu untuk 'berhadapan dengan bangsa lain". Apakah rasionalnya dan kenapa tergamak untuk mengeluarkan berita sedemikian rupa yang sangat tebal sentimen perkaumannya?

Kelab Anwar Ibrahim (AIC) bersetuju bahawa Melayu perlu bersatu, tetapi bersatu di dalam konteks memimpin bangsa-bangsa lain untuk sama-sama memajukan dan mengekalkan keamanan negara.

AIC yakin dan percaya bahawa segenap lapisan generasi muda rakyat Malaysia menolak sama sekali unsur penyatuan hanya untuk menindas dan bersaing secara tidak adil dengan bangsa lain.

Sebagai lidah rasmi pemerintah khususnya Umno sewajarnya bertanggungjawab untuk mengajak rakyat agar keluar daripada kepompong perkauman, sejajar dengan konsep "Satu Malaysia" yang digagaskan oleh Perdana Menteri yang baru.

Tetapi adalah sangat mendukacitakan, dalam keadaan Malaysia hampir menjangkau 52 tahun kemerdekaan, ada lagi akhbar Melayu yang masih memainkan polemik perkauman sempit sebagai modal politik murahan.

Justeru, AIC menolak sebarang usaha menyemai benih kebencian antara kaum yang ligat dimainkan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Sudah sampai masanya muafakat antara Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain bangsa dipupuk secara sihat dan segar tanpa ada elemen penindasan ke atas mana-mana bangsa mahupun agama sekali pun.

Adalah lebih wajar bagi Utusan Malaysia, selaras dengan tagline mereka iaitu "Penyebar Fikiran Rakyat" menyebarluas agenda integrasi nasional yang memupuk semangat cintakan negara melangkaui sempadan perkauman, bukannya berkelakuan sebagai "Penyebar Perpecahan Rakyat".

Kelab Anwar Ibrahim (AIC)

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url