Top Ad 728x90

,

Cuba menipu guna SMS

Dua peragut yang mencuba 'bakat' baru menipu dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan wang diberkas setelah cuba menyamar sebagai pemilik telefon bimbit yang sebelum itu menjadi mangsa ragut mereka.

Dalam kejadian 22 April lalu, kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 41 tahun itu menghantar SMS kepada rakan-rakan mangsa untuk meminta wang berikutan kononnya 'dia' sedang mengalami masalah.

Kedua-duanya telah menghantar SMS kepada hampir semua rakan mangsa itu dan meminta mereka memasukkan wang melalui akaun bank atau penyerahan tunai.

Bagaimanapun, salah seorang rakan mangsa yang menyedari penipuan tersebut telah bekerjasama dengan pihak polis bagi membolehkan kedua-dua suspek ditahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Lee Choon Guan berkata, kedua-dua suspek telah ditahan pukul 10.30 malam di sebuah lokasi di Jalan Abdullah.

"Kedua-dua peragut menunggu di kawasan itu kerana menyangka mereka akan menerima duit daripada rakan mangsa, namun tindakan pantas pihak polis telah berjaya memberkas kedua-dua mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, penahanan kedua-dua suspek itu berjaya menyelesaikan kes ragut melibatkan mangsa dalam tempoh kurang 24 jam.

Katanya, mangsa diragut oleh kedua-dua suspek kira-kira pukul 11 pagi pada hari sama.

Choon Guan berkata, mangsa kes ragut tersebut adalah seorang kerani berusia 22 tahun di sebuah bank di Jalan Bakri dan selain telefon bimbit, dia kerugian wang tunai RM70 dan pembantu digital peribadi (PDA).

Jelasnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati suspek yang berusia 41 tahun memiliki lima rekod jenayah manakala suspek berusia 25 tahun mempunyai empat rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek adalah penagih dadah dan dengan tertangkap mereka, pihak polis percaya sebanyak 13 kes ragut dan dua kes samun di daerah ini berjaya diselesaikan," katanya.

Dalam kes yang disiasat mengikut 392 Kanun Keseksaan itu, pihaknya juga berjaya merampas sejumlah barang yang dipercayai barang curi bernilai hampir RM15,000 iaitu 13 telefon bimbit, sebuah motosikal dan satu tiub serbuk putih dipercayai dadah.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90