Top Ad 728x90

Kota Iskandar kemegahan Johor


Jika di ibu negara, rakyat berbangga dengan pembinaan pusat pentadbiran yang baru di Putrajaya, di Johor, Kota Iskandar kini menjadi lambang kemegahan anak Johor.

Dengan seni bina unik dan menarik, Kota Iskandar yang kini menjadi pusat pentadbiran baru kerajaan negeri yang serba moden menggantikan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan.

Dirasmikan Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail pada 16 Mac lalu, Kota Iskandar mencerminkan pencapaian kerajaan negeri yang disegani di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dalam ucapannya berkata, kedudukan Kota Iskandar juga amat strategik kerana terletak di dalam lingkungan tumpuan kegiatan ekonomi Iskandar Malaysia.

''Bangunan yang terletak di kawasan 130 hektar dan dibina dengan kos yang realistik serta tidak mengenepikan unsur-unsur warisan dan budaya juga menjadi kebanggaan seluruh rakyat negeri ini.

''Ini kerana Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail berkenan merasmikan dan menamakannya dengan Kota Iskandar, iaitu sempena nama baginda," katanya.

Menurutnya, reka bentuk bangunan, landskap dan persekitaran pusat itu menggabungkan ciri-ciri Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, seni bina Istana Alhambra di Granada (kurun ke-14) dan Moor Andalusia serta rumah tradisional Johor pada kurun ke-19.

Abdul Ghani berkata, prasarana yang selesa, moden dan menarik juga menjadi pelengkap kepada Kota Iskandar yang dibangunkan dengan seni bina indah dan unik.

''Kesemua ini tentu menjadi satu kebanggaan rakyat Johor yang terkenal dengan keutuhan jati diri serta ketebalan budaya, sentiasa memaparkan khazanah silam sambil mara sebagai masyarakat progresif," katanya.

Menurutnya, susun letak bangunan dan ruang-ruang dalaman memberikan imej pentadbiran yang sistematik, efisien dan berintegriti sekali gus mewujudkan persekitaran bekerja yang kundusif untuk kakitangan awam.

Abdul Ghani berkata, seperkara lagi yang boleh dibanggakan ialah pembangunan pusat pentadbiran itu melibatkan 1,500 orang terdiri daripada perunding dan kontraktor dengan sebahagiannya adalah di kalangan kaum bumiputera dan anak jati Johor.

''Pembinaan Kota Iskandar juga membawa kesan berganda apabila menjadi pemangkin kepada kerancakkan pelbagai aktiviti ekonomi di kawasan sekitar seperti yang direncanakan dalam koridor ekonomi Iskandar Malaysia," katanya.

Beliau yakin kewujudan Kota Iskandar pasti akan memberi imej kerajaan negeri ke tahap baru yang mampu mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur asing bahawa Johor amat komited untuk maju.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90