Kamus Apple Tree - segalanya dalam satu
Ketika ini terdapat pelbagai jenis kamus elektronik yang dijual di pasaran dengan tawaran bermacam-macam fungsi dan aplikasi.
Antara yang semakin mendapat perhatian adalah kamus elektronik oleh syarikat Apple Tree menerusi tawaran lebih daripada sepuluh modelnya.
Salah satu model yang menarik perhatian adalah AT-98 yang mempunyai reka bentuk nipis dan sangat ringan.
Menawarkan terjemahan untuk tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Cina, ia menyasarkan penggunaan di kalangan pelajar sekolah, universiti dan juga tenaga pengajar seperti guru dan pensyarah.
Untuk Bahasa Malaysia, ia menggunakan kandungan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi keempat, manakala Bahasa Inggeris pula berdasarkan Kamus English Longman.
Kandungan serta perisian kamus itu juga boleh dikemaskini menerusi muat turun dari laman web secara percuma dalam tempoh dua kali setahun.
Selain bahasa, kamus itu turut menawarkan terjemahan maksud untuk simpulan bahasa dan juga peribahasa, terjemahan ayat penuh serta terminologi teknikal yang berkaitan dengan bidang sains, perubatan dan perniagaan.
Apa yang menarik, pengguna boleh menekan butang khas untuk mendengar dan mengetahui cara yang betul menyebut sesuatu perkataan.
Bagi menambah penguasaan bahasa pula, pengguna juga ditawarkan dengan pembelajaran tatabahasa dan kosa kata selain mencuba beberapa latihan yang disediakan untuk menguji kebolehan mereka.
Kamus elektronik AT-98 didatangkan dengan paparan skrin sentuh yang membolehkan pengguna menulis terus ke atas skrin dan mempuyai storan memori binaan dalam sehingga 4 gigabait (GB).
Aplikasi lain yang ditawarkan adalah seperti permainan, MP3 dan MP4, video multimedia, e-book, kalkulator biasa dan saintifik, direktori nombor telefon, kalendar dan juga perakam suara.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web www.appletree.com.my
i love apple tree