Kes Rusuhan di Stadium, Polis cari 11 lagi penyokong Kelantan

Polis Kelantan semalam menyebarkan 11 lagi gambar penyokong bola sepak Kelantan yang dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan dan keganasan penonton di luar Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam Selasa lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata mereka yang kebanyakannya berusia sekitar 20-an, dikenal pasti menerusi rakaman video yang diambil polis pada malam kejadian.
"Saya minta mereka yang berkenaan supaya menyerah diri dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan berhubung rusuhan malam Selasa lalu.
"Sebelum ini, gambar 28 individu sudah disebarkan dan sehingga semalam, enam suspek sudah ditahan di sekitar bandar ini hasil maklumat orang ramai," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.
- BERITA HARIAN
