Langkah baru Mawi
Mungkin masyarakat dan pemerhati dunia hiburan di luar sana melihat aura Asmawi Ani atau Mawi mula pudar sejak mendirikan rumah tangga dengan Nora'Asikin Rahmat atau Ekin pada 20 Disember lalu.
Bukan itu sahaja, popularitinya semakin hebat diperkatakan tatkala dia gagal mempertahankan gelaran Bintang Paling Popular untuk kali keempat berturut-turut selepas ia dirampas oleh juara Raja Lawak musim kedua, Nabil Ahmad dalam Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP2008) yang baru berlangsung.
Tetapi Mawi langsung tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah besar kerana dia pernah mengecapi dan menikmati apa yang dirasai Nabil kini.
Jauh sekali untuk berasa kecewa mahupun berkecil hati, sebaliknya anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini semakin optimis dengan langkah seninya.
Mensyukuri dengan nikmat serta rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T kepadanya, dia enggan terlalu memikirkan kata-kata orang kerana apa yang lebih penting kini adalah untuk dirinya memikirkan tentang perancangan masa depannya.
Apatah lagi, selepas dilantik menjadi duta selama dua tahun bagi restoran makanan segera, Marrybrown, Mawi kini semakin serius mahu menjadi seorang ahli perniagaan.
Diajak berbicara tentang niatnya itu, juara Akademi Fantasia musim ketiga ini sedang merancang untuk membuka francais Marrybrown di ibu kota.
Walaupun dengan senario ekonomi global yang tidak begitu menggalakkan, tetapi Mawi begitu yakin dengan suara hatinya untuk meneruskan rancangannya itu.
Tambahnya, idea itu timbul selepas dia menjalani penggambaran iklan televisyen Marrybrown selain daripada reputasi restoran itu yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 13 buah negara di seluruh dunia.
"Selepas empat tahun bergelar seorang artis, saya melihat diri saya semakin matang untuk menentukan hala tuju saya demi masa depan saya.
"Kadang-kala saya terfikir juga sampai bila saya mahu menyanyi dan kerana itu saya mahu terlibat dalam dunia perniagaan sebagai jaminan masa depan saya," luah Mawi sewaktu ditemui selepas majlis pelantikannya sebagai duta Marrybrown di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Marrybrown, Nancy Liew, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah serta isteri Mawi, Ekin.
Sambung Mawi, restoran makanan segera menjadi pilihannya kerana ia begitu mudah serta tidak terhad kepada mana-mana pengunjung.
"Kadang-kala, sesetengah perniagaan berasaskan makanan ini agak sukar untuk dikunjungi oleh kaum lain tetapi restoran makanan segera tidak begitu.
"Kerana itu juga ia menjadi pilihan saya untuk meneroka bidang perniagaan ini," katanya yang kelihatan semakin berisi sejak mendirikan rumah tangga.
Bagi Nancy pula, pihaknya begitu optimis dengan populariti Mawi serta imejnya yang dilihat menepati kriteria Marrybrown.
"Kami percaya dengan pemilihan Mawi sebagai duta, ia mampu menarik perhatian peminat dan pelanggan untuk mengunjungi restoran kami.
"Bukan mudah untuk mendapatkan Mawi kerana kesibukan dan kepadatan jadual seninya dan kami berbangga kerana dia bersetuju untuk bekerja sama dengan kami," jelasnya sambil memberitahu pihaknya belum ada sebarang perancangan untuk menjadikan Mawi sebagai duta restorannya di cawangan antarabangsa.
Sepanjang dua tahun bergelar duta untuk Marrybrown, penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha dan Kian ini menjelaskan banyak perancangan yang sudah diatur termasuklah sesi lampias otak untuk memperkenalkan menu terbaru untuk restoran itu.
Malah, dengan pelantikan Mawi, Marrybrown telah memperkenalkan dua menu baru iaitu Nasi Sate dan Burger Sate.
Mawi juga sempat berkongsi nostalgia silamnya bersama pihak media tentang Marrybrown yang banyak menyimpan kenangan manis dalam hidupnya memandangkan usia restoran itu sebaya dengannya dan berasal dari negeri kelahirannya.
"Dulu, sewaktu di Kulai, mana ada restoran makanan segera selain daripada Marrybrown. Kalau nak lepak pun, di situlah tempatnya dan masa itu ia sudah dikira sebagai sebuah tempat yang mewah.
"Tidak sah kalau saya tidak memesan dua ketul ayam goreng yang merupakan kegemaran saya," jelasnya sambil menguntum senyum penuh makna apabila diusik tentang bayaran yang diterimanya daripada Marrybrown.
Sementara itu, Mawi juga galak bercerita tentang perancangan seninya yang sudah diatur menerusi syarikatnya, MW Entertainment Sdn. Bhd.
Untuk itu, langkah pertama adalah menerbitkan musim kedua Langkah Mawi sebanyak 13 episod dan bakal menyaksikan kembara Mawi ke beberapa buah negara di seluruh dunia dengan Melbourne, Australia sebagai lokasi pertama.
Dijangka memulakan penggambaran sekitar Mei ini, Mawi memberitahu, sudah masanya untuk dia meneroka bidang seni yang lain.
"Banyak yang saya belajar daripada musim pertama dahulu dan saya bersedia dengan segala risiko untuk menerbitkan sendiri musim kedua ini.
"Kalau asyik mengharapkan pihak lain, sampai bila-bila pun kita tidak akan belajar. Saya yakin dengan apa sahaja yang saya lakukan kerana saya tidak menurut kata hati tetapi keputusan itu diambil setelah meneliti kebaikan dan keburukan serta perbincangan yang dilakukan," ujarnya yang kini giat mempromosikan album terbarunya, Allah Habeebi yang sudah pun berada di pasaran.
- UTUSAN